KUALA LUMPUR – Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee menyerahkan status jawatannya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Katanya, beliau juga akan akur sekiranya jawatan tersebut digantikan dengan individu lain.
“Saya beberapa kali memaklumkan bahawa saya akur kepada keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri berkenaan kedudukan saya.
“Perdana Menteri kata saya akan diganti sebaik saja pengerusi baharu dikenalpasti,” katanya pada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di bangunan Parlimen di sini hari ini.
Kiandee juga berkata isu supaya beliau melepaskan jawatan tidak berbangkit memandangkan Dr Mahathir telah memberi jaminan bahawa beliau akan kekal sebagai pengerusi sehingga calon sesuai ditemui.
Malah beliau berasa tidak tertekan dengan kritikan terhadapnya serta tindakan empat anggota PAC yang meletak jawatan.
“Juga tidak timbul isu tidak cukup (anggota), memandangkan empat anggota letak jawatan. Asas mesyuarat cuma perlukan seorang pengerusi dan tiga ahli jawatankuasa, hari ini kita ada pengerusi dan enam ahli jawatankuasa,” katanya.
Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan tiga anggota PAC pembangkang iaitu Datuk Dr. Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong), Datuk Seri Ahmad Hamzah (BN-Jasin) dan Datuk Takiyuddin Hassan (PAS-Kota Bharu) meletakkan jawatan berikutan isu kepimpinan PAC. – Bernama











