Khutbah Jumaat seru ambil ikhtibar peristiwa Christchurch - Utusan Malaysia

Khutbah Jumaat seru ambil ikhtibar peristiwa Christchurch

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 22 Mac – Seluruh masyarakat di negara ini perlu mengambil iktibar peristiwa hitam Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand baru-baru ini yang berpunca daripada salah faham terhadap Islam.

Imam Masjid Putra, Lukman Mohd. Hosni berkata, tindakan yang dilakukan oleh pengganas tersebut sangat kejam dan tidak berperikemanusiaan.

“Sebagai Islam agama kedamaian muslim yang saling bersaudara, inilah masanya kita menzahirkan keprihatinan, kebersamaan dan solidariti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Sesungguhnya Allah sahaja yang mengetahui hikmah di sebalik peristiwa hitam ini,” katanya dalam Khutbah Jumaat di Masjid Putra di sini hari ini.

Tambah Lukman, Islam menolak apa jua gerakan pelampau yang menggunakan kekerasan, pembunuhan dan peperangan sehingga menggugat keamanan negara mahupun dunia.

Katanya, sebagai umat Islam yang cintakan keharmonian, janganlah terlalu mudah mengambil sebarang tindakan sebagai balasan terhadap perbuatan jahat orang bukan Islam dengan kelak akan mendatangkan kemudaratan.

“Ingatlah perbuatan tersebut tidak akan dapat memberi apa-apa kebaikan, bahkan mengundang sikap benci, fitnah-menfitnah serta prasangka yang berpanjangan,” katanya.

Menurut Lukman lagi, Islam merupakan agama kedamaian kerana ajaran al-Quran melarang umatnya melakukan pertumpahan darah tanpa hak dan tidak memaksa orang bukan Muslim memeluk Islam.

Katanya, justeru itu memelihara kedamaian adalah sebahagian daripada tujuan penciptaan manusia sebagaimana ajaran Islam seperti terkandung dalam ayat 61 Surah al-Anfal.

“Sesungguhnya Islam agama yang mencintai kedamaian, ia melarang umatnya melakukan kerosakan, kejahatan, kemungkaran, kekerasan, kezaliman dan sebagainya,” katanya.

Lukman kemudian mengetuai solat hajat dan solat Jenazah Ghaib terhadap Allahyarham Muhammad Haziq Mohd. Tarmizi yang terkorban dalam serangan berdarah di Christchurch. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini