SUASANA dalam bilik operasi MM Synergy Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan bantuan keselamatan 24 jam awal pagi itu tenang seperti biasa.
Dari jauh, kelibat lebih 20 orang pekerja yang bertugas di bahagian pusat panggilan kecemasan dan unit tindakan sedang duduk melakukan tugasan masing-masing.
Sedang leka mendengar penerangan ringkas daripada penyelia di bahagian unit tindakan, kami dikejutkan dengan bunyi siren kecemasan yang bergema kuat di dalam bilik tersebut. Biarpun bunyi itu membuatkan kru Panorama terkejut dan sedikit cemas, namun kesemua mereka hanya menunjukkan riak tenang dan bersahaja.
MMSOS
“Setiap kali signal berbunyi, ia menandakan ada individu yang berada dalam kecemasan dan memerlukan pertolongan kami,” jelas Ahmad Samad Tap, 48, yang merupakan salah seorang pegawai bertindak di syarikat tersebut.
Sambil memeriksa lokasi aduan menerusi telefon bimbitnya, Ahmad Samad dan beberapa orang pegawai bertindak (RO) yang lain menyarungkan jaket keselamatan berwarna hijau pada tubuh mereka dan bersiap sedia untuk ke lokasi kejadian.
Bekerja sebagai RO sejak setahun lalu, menurut pesara tentera laut ini, dia perlu bersiap sedia 24 jam dengan kes-kes kecemasan yang dilaporkan oleh orang ramai menerusi aplikasi butang panik MMSOS.
“MMSOS butang panik merupakan aplikasi yang membolehkan individu mendapatkan bantuan kecemasan daripada kami dengan kadar segera.
“Kaedahnya begitu mudah iaitu dengan hanya menekan butang panik pada telefon bimbit, satu sistem notifikasi yang dilengkapi dengan lokasi kejadian dan jenis kecemasan yang diperlukan akan dihantar kepada kami untuk tindakan lanjut.
“Seterusnya, mereka hanya perlu menunggu sehingga pegawai-pegawai bertindak kami tiba menghulurkan bantuan kecemasan. Biasanya, bantuan tiba kurang daripada 15 minit,” jelasnya.
Menurut Ahmad Samad lagi, daripada sekecil-kecil kes kecemasan seperti mengepam atau menukar tayar kenderaan pancit, dia dan rakan-rakan yang merupakan petugas di bahagian unit tindakan itu turut membantu insiden-insiden besar seperti kemalangan, kebakaran, kecurian dan lain-lain lagi.
“Kami boleh diumpamakan seperti one stop center yang mana setiap kali orang awam perlukan bantuan kecemasan, kami akan segera datang.
“Sekurang-kurangnya orang ramai kini akan terasa lebih selamat dan tidak terancam ketika berada di luar,” jelasnya.
Bantuan keselamatan
Sementara itu, menurut pengasasnya, K.L Lim, aplikasi yang dibangunkan sejak tahun 2012 itu memberikan akses bantuan keselamatan dan pencegahan jenayah secara menyeluruh kepada orang ramai di hujung jari.
“Aplikasi mudah akses ini merupakan yang pertama dibangunkan di Malaysia. Perkhidmatan ini beroperasi 24 jam sehari untuk sepanjang tahun.
“Dengan hanya memuat naik aplikasi pada telefon bimbit, orang ramai kini boleh mendapatkan bantuan kecemasan dengan mudah pada tanpa mengira waktu,” jelasnya.
Menurutnya lagi, kebimbangan mengenai tahap keselamatan orang ramai yang semakin meruncing dan kesukaran untuk mendapatkan capaian bantuan kecemasan dengan mudah menyebabkan dia terpanggil untuk membangunkan sistem butang panik di telefon bimbit.
“Sekarang kita hidup di zaman teknologi yang mana orang ramai bergantung sepenuhnya terhadap telefon bimbit dan internet dalam kehidupan harian. Jadi kenapa tidak sebuah sistem diwujudkan bagi mempermudahkan orang ramai apabila berlakunya kecemasan.
“Jika kita lihat dewasa ini, individu sering terdedah dengan kes-kes jenayah dan juga kecemasan yang tidak dijangka. Masalah ragut, kecurian, kemalangan berada di mana-mana sahaja.
“Lazimnya, jika kejadian-kejadian ini berlaku, mereka akan terus menghubungi talian kecemasan 999 untuk mendapatkan bantuan,” jelasnya.
Menurut Lim lagi, berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Audit Negara mendapati, secara purata, talian tersebut menerima 83,000 panggilan sehari.
“Bagaimanapun laporan tersebut mendedahkan sebanyak 32.4 peratus daripada panggilan tersebut tidak dijawab atas faktor-faktor tertentu. Ia tentu menyedihkan bagi individu yang benar-benar berada dalam kecemasan dan memerlukan pertolongan dengan kadar segera.
“Justeru, kewujudan aplikasi dan sistem yang disediakan oleh syarikat kami bukan sahaja memberi alternatif dan menyediakan orang ramai capaian bantuan kecemasan dengan cepat, tetapi juga membantu talian 999 menyelesaikan ribuan kes yang dilaporkan,” jelasnya.
Menurut Lim lagi, menariknya, perkhidmatan yang ditawarkan itu mendapat kerjasama daripada pihak polis, bomba, hospital atau klinik, Jabatan Sukarela Malaysia (Rela), St. John Ambulans dan lain-lain.
Dengan hanya menekan butang pada aplikasi tersebut, RO yang bertugas akan bergegeas ke lokasi kejadian dalam tempoh kurang daripada 15 minit.
Setakat ini, MMSOS mempunyai 300 orang pegawai untuk mengendalikan kes-kes kecemasan yang dilaporkan. Biarpun begitu, buat masa ini aplikasi tersebut digunapakai di sekitar Lembah Klang sahaja dan akan dikembangkan ke kawasan lain secara berperingkat.
“Saya berharap aplikasi yang dibangunkan ini mampu membantu pihak berkuasa memastikan kadar jenayah d seluruh negara turut menurun.
“Selain itu, ia juga diharap membolehkan orang ramai menjalani kehidupan dengan lebih tenang dan selamat tanpa sebarang perasaan takut,” jelasnya.
Kamus kecemasan
Dalam pada itu, salah seroang penggunanya, Rosmawati Aboo Hassan, 40, pengalaman berhadapan dengan situasi tidak diingini menyebabkan dia sedar kepentingan aplikasi yang mengakses bantuan kecemasan dengan segera.
“Aplikasi ini sangat penting terutamanya bagi golongan wanita. Kata orang, malang tidak berbau.
“Saya pernah menggunakannya sekali sewaktu kenderaan terlanggar penghadang batu pembinaan. Kesan daripada perlanggaran tersebut, tayar kenderaan saya pecah dan tidak boleh digerakkan.
“Disebabkan tidak tahu apa yang perlu dilakukan pada waktu itu, saya telah menekan butang panik pada aplikasi tersebut secara tidak sengaja.
“Apa yang memeranjatkan, bantuan daripada MMSOS tiba kurang daripada 10 minit dan masalah yang dihidapi berjaya diselesaikan dengan mudah,” jelasnya.
Ujar Rosmawati lagi, aplikasi tersebut diumpamakan sebagai kamus kecemasan bergerak. Lebih-lebih lagi apabila ia bukan sekadar membantu dalam kes-kes jenayah dan kemalangan, tetapi juga insiden ringan seperti kerosakan kenderaan.
“Paling menarik perkhidmatan bantuan yang diberikan merangkumi jump start dan tukar tayar kenderaan.
“Ternyata kewujudan aplikasi ini memudahkan lagi urusan harian saya kerana dalam satu aplikasi, saya boleh mendapatkan bantuan kecemasan menyeluruh seperti ambulans, polis, bomba dan sebagainya dalam waktu yang singkat,” jelasnya.











