KUALA LUMPUR 22 Mac- Kertas siasatan berhubung kenyataan seorang aktivis muda Sabah yang ‘menyerang’ Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menerusi laman Facebooknya akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya (DPP). Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, aktivis terbabit, Jufazli Shi Ahmad dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. “Ada laporan tertentu yang perlu kita siapkan sebelum kertas siasatan dihantar kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Kita akan siapkan laporan itu secepat mungkin,” katanya ketika ditemui sebelum solat Jumaat sempena Hari Polis Ke-212 Tahun 2019 di Masjid Salehin, Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur di sini hari ini.
Semalam, beberapa portal media melaporkan Jufazli ditahan polis Sabtu lalu dan dijangka dibebaskan dengan jaminan polis hari ini. Dalam beberapa rakaman video siaran langsung Facebook itu, Jufazli dilihat menuduh Dr. Mahathir melakukan pelbagai jenayah termasuk rasuah dan salah guna kuasa. -UTUSAN ONLINE











