KUALA LUMPUR 3 Mac – Kerjasama antara Pas dan UMNO kini dilihat sebagai satu keperluan mendesak untuk menghalang kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa didominasi DAP meneruskan agenda ‘Malaysian Malaysia’ mereka.
Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki malah berkata, kerjasama itu bukan lagi ‘taboo’ atau pantang yang cuba dihindari dalam kalangan orang Melayu khususnya bagi ahli kedua-dua parti berkenaan.

“Mereka membangkitkan isu kononnya Pas mendapat RM90 juta daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB), PH menawan sekurang-kurangnya 27 kerusi Parlimen yang sepatutnya tidak terlepas jika ada persefahaman antara Pas dan UMNO.
“Oleh itu, kemenangan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Cameron Highlands dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih menjadi petunjuk bahawa kerjasama erat antara Pas dan UMNO berjaya mengalahkan DAP serta gerombolannya termasuk di negeri kubu mereka Selangor,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Di SETIU, Menteri Besar merangkap Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, semua pihak perlu mengiktiraf pilihan rakyat yang mempunyai sebab-sebab tersendiri menolak calon PH.
“Kita ingin menuju ke arah negara demokrasi yang sihat, jadi saya rasa ini antara salah satu perkara yang penting dalam proses demokrasi iaitu mengiktiraf pilihan yang dibuat oleh rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan Hadiah Kejohanan Kuda Lasak Piala Menteri Besar di Taman Ekuestrian Antarabangsa Terengganu (TIEP) Lembah Bidong

dekat sini hari ini.
Sementara itu, di ALOR SETAR, Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi berkata, pendekatan ta’awun atau tolong-menolong dalam perkara yang baik memberi kesan positif kepada perkembangan politik negara, khususnya hubungan BN dan Pas.
Malah, beliau berkata, kemenangan BN-Pas dalam PRK Semenyih dan Cameron Highlands sudah tentu merunsingkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang akan berdepan satu lagi pilihan raya di Rantau, Negeri Sembilan.
“Mutakhir ini, Pas diserang oleh kepemimpinan PH dengan pelbagai tohmahan palsu bertujuan melemahkan komitmen ahli dan meminggirkan rakyat daripada Pas.
“Serangan liar itu bagaimanapun semakin tumpul, satu persatu pembohongan dapat dipatahkan. Rakyat ternanti-nantikan apakah tajuk wayang (PH) sempena PRK Rantau,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.











