Kerajaan siasat anti-lambakan import CRC - Utusan Malaysia

Kerajaan siasat anti-lambakan import CRC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 29 Mac – Kerajaan telah menerima satu petisyen daripada pengeluar tempatan, Mycron Steel CRC Sdn. Bhd. bagi memulakan penyiasatan anti-lambakan ke atas pengimportan cold rolledcoils of iron or non-alloy steel (CRC) dengan kelebaran melebihi 1300mm.

MITI dalam kenyataannya berkata, pempetisyen mendakwa subjek dagangan yang berasal atau dieksport dari China, Jepun, Republik Korea dan Vietnam telah dilambakkan ke Malaysia dengan harga yang lebih rendah daripada yang dijual di pasaran domestik negara-negara tersebut.

Menurutnya, pempetisyen juga mendakwa bahawa lambakan import dari negara-negara tersebut telah meningkat dari segi jumlah kuantiti dan telah mengakibatkan kemudaratan material kepadanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kerajaan telah mempertimbangkan bukti-bukti prima facie lambakan, kemudaratan serta hubungkait di antara kedua-duanya dan memutuskan untuk memulakan penyiasatan anti-lambakan ke atas import CRC dengan ketebalan melebihi 1300mm dari negara-negara berkenaan.

“Selaras dengan Akta Duti Timbal Balas dan Anti-Lambakan 1993 dan Peraturan yang berkaitan, suatu penentuan awal akan dibuat dalam tempoh 120 hari daripada tarikh permulaan siasatan. Sekiranya penentuan awal didapati positif, maka kerajaan akan mengenakan duti anti-lambakan sementara mengikut kadar yang ditetapkan untuk menghalang kemudaratan yang berterusan,” katanya di sini hari ini.

Tambah MITI, pihaknya akan mengedarkan borang soal selidik kepada pihak berkepentingan seperti pengimport, pengeluar asing, pengeksport dan persatuan-persatuan.

Katanya, pihak-pihak lain yang berkepentingan juga boleh mendapatkan borang soal selidik itu selewat-lewatnya pada 12 April.

“Pihak berkepentingan juga boleh memberi pandangan dan bukti tambahan bagi menyokong siasatan ini secara bertulis kepada MITI selewat-lewatnya pada atau sebelum 27 April depan,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini