MELAKA – Kementerian Kerja Raya akan mengambil tindakan agresif menyenarai hitam kontraktor yang mengambil mudah aspek pelan pengurusan trafik dalam melaksanakan projek-projek insfrastruktur di negara ini.
Timbalan Menterinya, Mohd. Anuar Mohd. Tahir berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira risiko yang didedahkan kepada pengguna jalan raya sehingga boleh menyebabkan kejadian kemalangan maut.
“Kementerian ada menerima rungutan mengenai pelan pengurusan trafik yang sangat tak teratur seperti tanda isyarat tidak mencukupi hingga menyebabkan pengguna memandu laju, tiada penghadang dan sebagainya.
“Justeru, kita meminta pihak kontraktor di seluruh negara memberi tumpuan kepada tugas dan tanggungjawab mereka atau akan disenarai hitamkan kerana kesilapan-kesilapan seperti ini boleh mengancam nyawa pengguna jalan raya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas majlis Perasmian Projek Menaik Taraf Jalan Ayer Keroh ke Bandar Melaka di Persimpangan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Majlis disempurnakan Ketua Menteri, Adly Zahari dan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kemudahan Awam negeri, Datuk Mohd. Sofi Abdul Wahab.
Tambahnya, pihak kementerian tegas dalam perkara tersebut dan kontraktor yang disenarai hitam tidak akan diberi peluang kedua untuk terlibat dalam projek-projek infrastruktur lain.
Sementara itu Adly berkata, pembinaan dua jejantas yang telah diluluskan semasa Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) di Ayer Keroh dan Peringgit itu memberi kelegaan kepada penduduk serta pelancong luar untuk ke negeri ini.
“Dengan terlaksananya projek ini, ia berjaya menjimatkan masa pengguna dari Ayer Keroh ke pusat bandar sebanyak 10 minit di setiap persimpangan,” tambahnya. – K! ONLINE










