Kenyataan Nurul Izzah sesuai dengan prinsip keterbukaan PH -Anwar - Utusan Malaysia

Kenyataan Nurul Izzah sesuai dengan prinsip keterbukaan PH -Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar mengenai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan pandangan terbukanya dan sesuai dengan prinsip keterbukaan yang diamalkan oleh parti gabungan Pakatan Harapan (PH).

Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, parti gabungan PH tetap kekal menyokong kepimpinan Mahathir, namun ahli partinya bebas menyuarakan pandangan sekiranya mempunyai pendapat berbeza.

“Kita dalam PH sudah jelaskan untuk beri ruang dan sokongan terhadap usaha Tun Mahathir. Tidak bermakna kita tidak boleh berbeza pendapat. Ada sesetengah orang fikir ini macam kerajaan terdahulu yang tidak boleh mengkritik.

“Itu pandangan dia (Nurul Izzah) dan ia sudah lama berlaku tapi diperbesarkan The Straits Times. Semua pihak faham dan setuju kepada perjanjian persefahaman antara kalangan kita namun baik kita tumpu kepada agenda pembangunan ekonomi dan membela nasib rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen, hari ini.

Anwar diminta mengulas kenyataan Nurul Izzah yang dilapor media Singapura, antara lain menyifatkan Mahathir sebagai bekas diktator.

Dalam pada itu, Anwar menyifatkan kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang hari ini bahawa Mahathir seorang pemimpin yang tegas dan bukannya seorang diktator sebagai cubaan membodek. – Bernama

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×