NAIROBI 26 Mac – Kenya merancang untuk menutup kem pelarian terbesar dunia, yang menempatkan kira-kira 125,000 orang, dalam tempoh beberapa bulan akan datang.
Perkara itu didedahkan menerusi satu dokumen dalaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang diperoleh oleh AFP.
Kem Dadaab di timur negara ini yang berusia 30 tahun dan menempatkan kebanyakan pelarian Somalia akan ditutup menjelang akhir Ogos.
Dokumen bertarikh 28 Februari itu menyebut kerajaan Kenya telah menghantar sekeping nota memaklumkan rancangan tersebut.
Nota itu yang bertarikh 19 Februari, meminta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) melaksanakan pemindahan semula semua pelarian dan pencari suaka di kem terbabit.
Dalam dokumen itu juga, UNHCR menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan Kenya bagi menghantar semua pelarian ke negara asal, memindahkan mereka ke bahagian lain di negara ini serta penempatan semula ke negara dunia ketiga.
Menurut seorang pekerja bantuan kemanusiaan di kem berkenaan mengesahkan perkara itu.
Ujarnya, semua pertubuhan antarabangsa dimaklumkan mengenai rancangan itu tetapi Kenya mahu pelan tersebut dilaksanakan secara ‘senyap-senyap’. – AFP











