JOHOR BAHRU 4 Mac – Pasukan Kedah muncul juara Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang ke-24 (FLLSPG) di Bukit Layang-Layang, Pasir Gudang, yang bermula Rabu lepas sehingga semalam.
Wakil pasukan itu, Ahmad Kasim, 64, berkata kejayaan itu adalah kali keempat sejak Kedah menyertai FLLSPG pada 2015.
“Kami menang pada 2015, 2016 dan 2017, namun, kalah kepada Kelantan, tahun lepas, sebelum kembali merampas kemenangan tahun ini.
“Sejak menyertai festival ini pada 2015, saya bersama 30 wakil pasukan Kedah tidak pernah menyerah kalah dalam menghasilkan wau terbaik kerana terdapat banyak persaingan setiap tahun,” katanya yang ditemui Bernama selepas majlis penutup dan penyampaian hadiah FLLSPG ke-24, oleh Presiden Majlis Pelayang Malaysia, Datuk A Rahim Nin, di sini, malam tadi.
Kedah muncul juara setelah memenangi pertandingan wau bulan naik, wau merak naik, wau bulan cantik, wau jalabudi cantik, wau merak cantik dan wau daun kebangsaan.
Pasukan itu membawa pulang piala iringan bersama piala pusingan dan wang tunai.
Naib juara disandang Kelantan manakala Kuala Lumpur di tempat ketiga.
Sementara itu, berucap pada majlis berkenaan, A Rahim berkata FLLSPG yang akan mencapai jubli perak tahun hadapan, mempunyai kelainan tersendiri, istimewa dan berbeza dengan acara antarabangsa yang lain.
Beliau berkata hal ini kerana perpaduan dan keharmonian yang ditonjolkan oleh pelbagai peserta dari seluruh dunia dapat dilihat dan ia diungkapkan menerusi kreativiti dan kepelbagaian reka bentuk layang-layang yang dihasilkan.
“Festival ini juga dilihat sebagai acara bagi menghargai kesenian, aktivti persembahan, pameran bengkel yang menghasilkan kepelbagaian reka bentuk daripada masyarakat dunia yang berbeza latar dan budaya,” katanya.
FLLSPG ke-24 yang bertemakan ‘Keindahan Budaya’, menyaksikan penyertaan dari 45 negara termasuk penyertaan baharu membabitkan Colombia, Bulgaria, Hungary dan Venezuela.
Ia dianjurkan Kerajaan Negeri Johor menerusi Majlis Perbandaran Pasir Gudang dengan kerjasama Tourism Johor, Majlis Pelayang Malaysia dan Persatuan Pelayang Johor. – BERNAMA










