SARJANA pernah mengandaikan, jika ada serpihan syurga jatuh ke bumi, mungkin jatuhnya di Kashmir kerana wilayah yang berkongsi sempadan dengan tiga buah negara iaitu India, Pakistan dan China itu dianggap unik serta diibaratkan sebagai syurga dunia.
Lokasi pelancongan itu menjadi rebutan hingga wilayah berkenaan dipecahkan kepada tiga pentadbiran iaitu Pakistan menguasai bahagian barat laut, India di bahagian tengah serta selatan (Jammu dan Kashmir) dan China menguasai bahagian timur laut yang dikenali sebagai Aksai Chin.
Mengupas sejarah pertempuran Kashmir, ketika British mengakhiri kuasanya pada 15 Ogos 1947, British membahagikan India kepada dua buah negara iaitu negara Islam Pakistan dan negara sekular India, Kashmir pula diberi pilihan sama ada untuk menyertai India atau Pakistan.
Secara teorinya, Kashmir yang lebih 70 peratus penduduknya beragama Islam disangka akan menyertai Pakistan tetapi sebaliknya, Islamabad melihat Maharaja Hari Singh yang menaiki takhta Kashmir pada tahun 1925 hingga 1947 sebagai berpotensi untuk menyertai India disebabkan faktor agamanya.
Maharaja Hari Singh ketika itu belum lagi membuat sebarang pilihan dan masih kekal neutral dan perkara ini mencetus kebimbangan Pakistan yang kemudiannya melancarkan serangan gerila untuk ‘menakut-nakutkan’ pemerintah itu.
Justeru itu, Kashmir terpaksa meminta bantuan India dan sebagai balasan, India mendesak Kashmir untuk menyertai negara itu. Maka dengan itu wujudlah Surat Ikatan Penyertaan antara Maharaja Hari Singh dan kerajaan India pada Oktober 1947 sebagai perjanjian untuk menyerahkan Jammu dan Kashmir kepada India.
Susulan itu, pada 27 Oktober 1947, India menghantar pasukan tenteranya yang pertama ke Kashmir untuk menduduki wilayah itu sebagai persiapan awal daripada serangan Pakistan dan dengan ini, bermulanya titik konflik antara kedua-dua negara dalam perebutan wilayah Islam itu yang berterusan sehingga kini.
Pada asasnya, konflik perebutan kawasan di wilayah berkenaan adalah dikaitkan dengan kedegilan India dan Pakistan yang enggan melepaskan wilayah Kashmir yang mereka duduki dan membenarkan penduduk Kashmir menentukan sendiri masa depan mereka.
Kedua-dua negara enggan beralah walaupun kehendak majoriti penduduk Kashmir mahukan kemerdekaan dan membentuk kerajaan sendiri tanpa campur tangan pihak luar.
India dan Pakistan tidak mengiktirafkan pemilikan kawasan antara satu sama lain sehingga menyebabkan mereka terjebak dalam tiga peperangan iaitu pada 1947, 1965 dan 1971 dalam tempoh 72 tahun ini.
Peperangan pertama yang berlaku pada 1947 sehingga 1948 itu bagaimanapun berakhir apabila Resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menubuhkan Garisan Kawalan (LoC) bagi membahagikan kedua-dua negara itu, diikuti perang kedua dari Ogos hingga September 1965 dan ketiga pada 1971 berkaitan Kemerdekaan Bangladesh.
Konflik Kashmir juga merupakan penyebab kedua-dua negara terbabit muncul menjadi negara kuasa nuklear. India menjadi negara kuasa nuklear pada 10 Mei 1998, manakala Pakistan pada 28 Mei 1998 sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara tersebut.
Jelas sekali, kemelut di Kashmir itu bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya bermula ketika proses kemerdekaan membabitkan India dan Pakistan lagi sejak tahun 1947, yang meninggalkan kesan mendalam terhadap hubungan antara kedua-dua negara berjiran itu.
Melihat situasi semasa, India dan Pakistan kini dilihat bakal melancarkan peperangan buat kali keempat susulan insiden pengeboman bunuh diri di Kashmir yang mengorbankan 42 tentera India pada 14 Februari lalu. Insiden itu meningkatkan ketegangan kedua-dua negara apabila masing-masing berbalas serangan dan dalam perkembangan terbaharu, Pakistan menahan juruterbang tentera India, Komander Sayap Abhinandan Varthaman selepas jet pejuang yang dipandu Varthaman ditembak jatuh.
Namun tidak sampai 24 jam juruterbang itu dibebaskan, kedua-dua pihak terus berbalas serangan yang menjadikan pos kawalan dan kampung di sepanjang sempadan sebagai sasaran.
Perdana Menteri India, Narenda Modi menuduh kumpulan Jaish-e-Mohammad (JeM) yang dipercayai terlibat dalam serangan terhadap pasukan keselamatan negara itu ada hubungan terus dengan agensi perisikan utama Pakistan, Perkhidmatan Perisikan Dalaman (ISI) dan mendesak agar Pakistan diletakkan dalam senarai pemantauan negara membiayai keganasan.
Islamabad yang menafikan sekeras-kerasnya tuduhan India itu menyifatkannya sebagai ‘ilusi’ India semata-mata dan menggesa pemimpin India berkenaan ‘supaya bijak dan memahami situasi dengan baik’.
Persoalannya, apa yang istimewa dengan Kashmir ini sehingga ia menjadi rebutan antara kedua-dua negara nuklear itu sehingga sanggup mengorbankan ribuan nyawa? Berikut beberapa faktor menjadikan Kashmir istimewa.
Kepelbagaian budaya
Kashmir terkenal dengan kepelbagaian budaya dan bahasa. Meskipun bahasa utama mereka adalah bahasa Kashmiri, namun kedudukan geografinya yang dikelilingi tiga buah negara, rata-rata penduduk wilayah itu mampu berkomunikasi dalam bahasa Inggeris.
Pelancongan
Pelancongan adalah segmen paling penting di wilayah ini kerana menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi. Kashmir dikatakan sebagai pintu gerbang ke ‘syurga’ dunia yang terkenal dengan keindahan alamnya. Pahalgam yang terletak di wilayah Kahsmir juga dibeli jolokan ‘Little Switzerland’ kerana menyajikan pemandangan yang amat menarik dan suasana persis di Switzerland.
Saffron
Kashmir juga terkenal sebagai pengeluar terbesar saffron selepas Iran dan Sepanyol. Saffron ialah itu sejenis herba yang boleh digunakan sebagai teh atau rempah dalam masakan. Saffron merupakan antara rempah yang termahal di dunia.
Kedudukan geografi
Kashmir juga terletak di jalur pergunungan Himalaya yang menjadikannya destinasi menarik untuk dilawati. Suasana pergunungan dan sungai semestinya memukau pengunjung.
4 Musim
Keindahan yang menyamai negara Eropah dan kewujudan cuaca empat musim, Kashmir digelar sebagai ‘Paradise on Earth’ dan ‘Switzerland of The East’. Musim bunga dan salji menyajikan keindahan luar biasa di Kashmir. Begitu juga musim panas dan musim luruh. Pendek kata, Kashmir menjadi pilihan pelancong sepanjang tahun. Sonamarg sebuah kawasan terletak di altitud tinggi kira-kira 2,727 meter dari paras laut mengalami musim sejuk sepanjang tahun termasuklah pada musim panas. Thajiwas Glacier adalah tarikan utama di Sonamarg kerana pernah menjadi lokasi penggambaran filem lakonan Salman Khan, Bajrangi Bhaijaan.










