Kanak-kanak 3 tahun hilang, pasangan suami isteri dicari - Utusan Malaysia

Kanak-kanak 3 tahun hilang, pasangan suami isteri dicari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR 4 Mac – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dilaporkan hilang dipercayai dilarikan sepasang suami isteri yang juga kenalan kepada ibu kanak-kanak itu di Langkawi, di sini.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Superintenden Mohd. Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya menerima laporan daripada ibu kanak-kanak itu yang merupakan warga negara Indonesia pada pukul 12.08 tengah malam, semalam.

Menurutnya, kanak-kanak itu, Nur Aisyah Aleya Abdullah difahamkan dijaga pasangan berusia 37 dan 40 tahun itu sejak penghujung Januari lalu.

“Ibu kanak-kanak itu yang berusia 31 tahun dipercayai mengenali suspek lelaki sejak November tahun lalu dan dia datang ke Langkawi untuk bekerja serta tinggal di rumah pasangan itu.

“Bagaimanapun, isteri suspek yang juga seorang jururawat mengetahui hubungan suaminya dan pengadu, lalu menghantar wanita itu tinggal di tempat kerjanya di sebuah restoran di Kampung Bohor Tempoyak, namun anaknya tidak diserahkan kepada pengadu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Iqbal, ibu kanak-kanak itu telah pergi ke rumah suspek di kuarters Hospital Langkawi baru-baru ini, namun dia diberitahu anaknya telah diberikan kepada pihak lain yang tidak dikenali.

“Pemeriksaan di rumah suspek dan di tempat kerja isterinya telah dibuat namun mendapati pasangan suami isteri itu tiada di kedua-dua tempat tersebut.

“Polis kini sedang mengesan pasangan suami isteri ini yang dipercayai terlibat dalam kejadian berkenaan, sementara hebahan menerusi Nur Alert juga telah diaktifkan,” katanya.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 48(2) Akta Kanak-Kanak. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN