KUALA LUMPUR 27 Mac – Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim secara berseloroh hari ini menawar diri untuk dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).
Bagaimanapun, beliau menyerahkan kepada kepemimpinan PAC untuk menentukan calon yang sesuai menggantikan Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee.
“Secara peribadi, kalau boleh saya (dipilih) tapi saya serahkan kepada PAC dan kepemimpinan untuk menentukan kedudukan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Kenyataan Ahli Parlimen Port Dickson itu kemudiannya disambut ketawa oleh beberapa ahli Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Dewan Rakyat, antaranya Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz (BN-Padang Renggas); Datuk Seri Dr. R. Santhara Kumar (PH-Segamat); Maria Chin Abdullah (PH-Petaling Jaya) dan Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar (GPS-Santubong).
Jelas Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, manifesto PH jelas menggariskan jawatan Pengerusi PAC khusus kepada Ahli Parlimen pembangkang.
“Kita faham isu tapi kita perlu memberi masa sebab Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad) masih di Pulau Langkawi dan rasanya akan ada perbincangan,” katanya.
Ketika ditanya sama ada anak sulungnya, Nurul Izzah akan menarik balik tindakan meletakkan jawatan sebagai anggota PAC, Anwar berkata”
“Awak kena pujuk dia,” katanya ringkas. – UTUSAN ONLINE.











