JOHOR BAHRU 14 Mac – Kerajaan Pusat sedia mengkaji keberkesanan sekali gus meneliti keperluan untuk memperkuatkan undang-undang berkaitan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan tersebut selepas apa yang berlaku di Sungai Kim Kim di Pasir Gudang pada 7 Mac lalu.
Jelas beliau, kerajaan mengambil perhatian tentang betapa seriusnya kejadian pencemaran toksik di Sungai Kim Kim termasuk kesannya kepada orang ramai.
“Kita biasa dengan racun air atau solid tetapi kali ini ia adalah gas yang kita tidak pernah ditangani dan saya yakin kita akan kaji undang-undang sama ada perlu diperkuatkan atau tidak.
“Jadi, kita ambil perhatian betapa seriusnya peristiwa itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas melawat mangsa pencemaran toksik Sungai Kim Kim di Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri Besar, Datuk Osman Sapian.
Menurut Dr. Mahathir, usaha mengesan pesalah yang terlibat dalam kejadian itu juga sedang giat dijalankan.
Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai suspek yang dijangka didakwa hari ini, beliau berkata, kerajaan tidak boleh menuduh sewenang-wenangnya.
“Kita kena tentukan sebelum kita buat dakwaan, apa pun jangan kita buat tuduhan sewenangnya dan terkena kepada orang yang tidak bersalah, kita perlu buat siasatan supaya kita dapat tentukan dari mana datangnya bahan itu,” katanya. – UTUSAN ONLINE











