ROME 4 Mac – Juventus semakin hampir untuk meraih gelaran juara Serie A Itali selepas menewaskan pencabar terdekat, Napoli 2-1 dalam aksi domestik di laman lawan awal hari ini.
Walaupun kedua-dua pasukan terpaksa bermain 10 orang kerana layangan kad merah, ia tidak menjejaskan tumpuan Juventus yang memperoleh gol menerusi Miralem Pjanic dan Emre Can.
Sebaliknya Napoli pula yang tertekan kerana selepas Jose Callejon menjadikan kedudukan 1-2, mereka gagal memanfaatkan penalti yang dihadiahkan pengadil enam minit sebelum permainan tamat untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan apabila Lorenzo Insigne menyepak ke arah tiang gol.
Dengan kemenangan itu, Juventus sebagai pendahulu liga kini 16 mata di depan Napoli di tangga kedua, satu kelebihan yang boleh dianggap sudah berada sebelah kaki untuk merangkul kejuaraan Serie A musim ini. – AFP










