KUALA LUMPUR 3 Mac. – Selepas gagal meraih sebarang kemenangan dalam lima perlawanan pertama Liga Super musim, penyokong Red Giants mula mempersoalkan kemampuan B. Sathianathan sebagai ketua jurulatih.
Khabar angin bertiup kencang dalam kalangan penyokong Selangor bahawa Sathianatan mungkin diganti dengan jurulatih asing selepas pasukan itu mengalami kekalahan kedua kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Shah Alam, Jumaat lalu.

“Ada yang kata nampak kelibat jurulatih import yang familiar (tidak asing) dalam Liga Malaysia suatu ketika dahulu di sekitar Selangor.
“Sama-sama nantikan kalau desas desus ini betul,” tulis Selangorfans_official dalam Instagram.
Antara jurulatih yang menjadi sebutan penyokong Red Giants adalah bekas pengendali Kedah, Roman Marcote, Mario Gomez (JDT) dan jurulatih skuad bawah 19 tahun negara, Bojan Hodak.
Bagaimanapun Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Dr. Johan Kamal Hamidon pantas memadamkan spekulasi dengan menegaskan, mereka berada di belakang Sathianathan.
Johan juga berkata, FAS masih meyakini kemampuan bekas jurulatih kebangsaan itu untuk meletakkan pasukan pada landasan betul melihat kepada peningkatan yang ditunjukkan dalam dua perlawanan terakhir.
“Ia hanya khabar angin. Kami tidak akan membuat keputusan terburu-buru yang pada akhirnya boleh merugikan pasukan.
“FAS masih menaruh kepercayaan penuh kepada jurulatih untuk mengendali pasukan, malah pemain telah menunjukkan semangat juang tinggi untuk meraih kemenangan.
“Kalau tengok dua perlawanan terakhir ketika menentang Pahang dan JDT. Saya rasa semua setuju Selangor telah menunjukkan peningkatan berbanding perlawanan sebelum ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Selangor gagal meraih kemenangan sejak kempen Liga Super dibuka pada 1 Februari lalu.
Mereka seri 1-1 menentang Felda United (3 Februari), terikat 1-1 dengan PJ City FC (9 Februari), kalah 0-4 kepada PKNS (17 Februari), seri 1-1 dengan Pahang (24 Februari) dan terbaru tumpas 2-4 di tangan JDT.










