Jualan Perodua naik 7.3 peratus - Utusan Malaysia

Jualan Perodua naik 7.3 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Perodua telah menjual hampir 37,400 buah kenderaan dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, peningkatan sebanyak 7.3 peratus berbanding 34,800 unit kenderaan yang dijual sepanjang tempoh sama pada 2018.

Pada Januari dan Februari lalu, Perodua menjual sekitar 15,000 unit Myvi, 10,100 Axia, 5,900 Bezza, 3,600 Aruz dan 2,700 unit Alza.

Pengarah Urusan Perodua Sales Sdn. Bhd., Datuk Dr. Zahari Husin berkata, peningkatan prestasi jualan tersebut adalah hasil daripada usaha untuk menambahbaik masa penghantaran kenderaan.

“Sementara menunggu laporan bahagian pasaran daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA), kami menganggarkan bahawa bahagian pasaran kami setakat tahun ini adalah 41 peratus.

“Sementara itu, SUV tujuh tempat duduk terbaharu kami, Perodua Aruz, terus meraih pesanan memberangsangkan dengan lebih daripada 13,000 tempahan diterima sejak awal Januari,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Perodua Aruz kini ditawarkan dalam dua varian iaitu X serta AV dan kira-kira 85 peratus tempahan adalah untuk varian AV.

“Kami telah menyelaraskan operasi pengeluaran dalam usaha mengurangkan masa menunggu untuk Aruz. Ini akan diteruskan juga pada bulan Mac,” katanya.

Perodua kini mengadakan jerayawara (roadshow) Aruz On Tour di seluruh negara, bermula 13 Februari di Selangor dan seterusnya ke Johor Bahru, Kota Bharu dan berakhir di Kuching pada 8 hingga 10 Mac bertempat di pusat beli-belah The Spring. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN