Jokowi sedia bercuti dari tugas Presiden - Utusan Malaysia

Jokowi sedia bercuti dari tugas Presiden

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA 2 Mac – Calon pilihan raya Pre­siden Indonesia nombor satu, Joko Widodo atau Jokowi memaklumkan beliau sedia bercuti sepenuhnya bagi berkempen sekiranya ada peruntukan yang membenarkannya berbuat demikian.

Agensi berita Antara melaporkan, Jokowi berkata demikian semasa mengadakan pertemuan dengan kumpulan petani jagung dari Desa Motilango di daerah Gorontalo, semalam.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (KPU) Indonesia yang menentukan segala peraturan dalam pilihan raya dan jika mereka membenarkan saya untuk cuti sepenuhnya bagi melakukan aktiviti kempen, saya akan menerimanya.

“Namun, KPU pasti tidak akan berbuat demikian dan saya akan terus bertugas sambil me­lakukan aktiviti kempen,” katanya.

Sebelum itu, Badan Pemenangan Nasional (BPN) Prabowo Subianto-Sandiaga Uno mendesak Jokowi supaya lebih telus kepada rakyat mengenai waktu cuti yang digunakannya semasa berkempen.

Wakil BPN, Ferry Juliantono berkata, ketelusan itu diperlukan bagi memastikan Jokowi tidak menyalahgunakan kemudahan yang diberikan sebagai Presiden Indonesia untuk berkempen.

“Jokowi adalah Presiden Indonesia dan tidak mustahil beliau boleh menggunakan segala pelepasan atau kemudahan untuk memudahkannya beliau berkempen dan hal ini perlu dijelaskan oleh beliau,” ujarnya.

Tambah Ferry, jika terbukti Jokowi menyalahgunakan kuasanya untuk bercuti demi berkempen, maka beliau sudah melanggar Undang-undang Nombor 7 2017 berkaitan pilihan raya.

Proses undi pilihan raya Pre­siden (Pilpres) akan diadakan pada 17 April ini menyaksikan gandingan Jokowi-Ma’ruf Amin dicabar pasangan Prabowo dan Sandiaga. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN