JKM kunci pusat jagaan tidak berdaftar  - Utusan Malaysia

JKM kunci pusat jagaan tidak berdaftar 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR – Pusat Jagaan Anak-Anak Cahaya Amal Bistari yang menempatkan seramai 211 penghuni terdiri daripada kanak-kanak seawal usia tujuh tahun di Taman Pekan Baru, Sungai Petani dekat sini akan dikenakan tindakan lak atau kunci pada esok kerana didapati tidak berdaftar.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh berkata, pusat jagaan yang didaftarkan sebagai Pusat Rawatan Amal itu dikenakan Notis Lak pada 11 Mac lalu kerana tidak berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Tindakan lak ini diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Petugas Khas Menangani Eksploitasi Kanak-Kanak di Pusat Rawatan Amal pada 5 Mac lalu dan tindakan tersebut akan dilakukan JKM mengikut Seksyen 16A Akta Pusat Jagaan 1993 (Pindaan) 2007 esok,” katanya pada sidang akhbar di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Memuatkan artikel berkaitan…

Kata beliau, siasatan mendapati hanya 11 kanak-kanak merupakan anak yatim manakala selebihnya masih mempunyai ibu bapa termasuk dalam kalangan kakitangan pusat jagaan berkenaan.

“Sekiranya penghuni masih ada ketika tindakan lak dilakukan, JKM akan memberi perlindungan kepada 11 anak yatim terlibat manakala penghuni lain akan diserahkan semula kepada ibu bapa masing-masing,” ujarnya.

Menurut Ismail, pihaknya tegas dalam menangani perkara itu kerana pusat jagaan itu turut didakwa menggunakan kanak-kanak di situ untuk mengutip derma di seluruh negara.

“Kita menerima aduan daripada orang ramai tentang kegiatan kanak-kanak ini yang meminta derma di serata tempat dan saya juga pernah dihampiri penghuni pusat itu di Jalan Duta, Kuala Lumpur sebelum seorang lagi di Tapah, Perak.

“Saya beritahu apa yang mereka buat ini tidak betul tetapi mereka mengatakan mereka dilatih untuk menjadi usahawan yang mana skrip yang digunakan boleh dikatakan hampir sama,” ujarnya.

Ismail pada masa sama meminta orang ramai tidak terpedaya dengan penyebaran maklumat dan video kononnya penghuni pusat jagaan itu dihalau menerusi aplikasi WhatsApp dan Facebook baru-baru ini.

“Mereka menggunakan kanak-kanak untuk melahirkan simpati orang ramai bagi mendapatkan sumbangan dan itulah cara yang dilakukan bagi mencari dana,” dakwanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini