HASRAT skuad badminton negara untuk meneruskan kemaraan pada Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia tidak terlaksana apabila tersekat pada peringkat suku akhir selepas tewas 0-3 kepada Jepun semalam.
Bagaimanapun, kekalahan tersebut memang sudah dijangka lebih-lebih lagi Jepun turun sebagai juara bertahan serta pilihan utama kejohanan.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann mengakui anak-anak buahnya gagal menampilkan aksi terbaik pada perlawanan itu, terutamanya menerusi perseorangan lelaki, Cheam June Wei dan perseorangan wanita, Ho Yen Mei.
“Saya fikir Cheam dan Yen Mei sepatutnya memenangi perlawanan masing-masing kerana mereka memiliki peluang untuk tewaskan lawan masing-masing. Mereka gagal menggunakan kesempatan yang ada untuk hadiahkan mata kepada pasukan negara.
“Setiap pemain sepatutnya memiliki semangat serta percaya pada diri. Mereka perlu percaya Malaysia mampu lakukan kejutan pada saingan kali ini, namun tuah tidak menyebelahi kita,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Malaysia berpeluang mengutip mata pertama perlawanan menerusi beregu lelaki, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang berdepan Takuro Hoki-Yugo, namun terpaksa akur dengan kekalahan 21-19, 16-21, 15-21.
Yen Mei yang turun beraksi menentang Aya Ohori turut gagal untuk memberikan cabaran apabila tewas 9-21, 23-25 sebelum Kanta Tsuneyama memastikan kemenangan milik Jepun dengan menewaskan June Wei 13-21, 23-21, 21-15.
Justeru, Choong Hann menegaskan, latihan mental amat diperlukan pemain-pemain negara pada ketika ini bagi memastikan mereka tidak mudah tertekan apabila berada di gelanggang.











