PETALING JAYA – Memperkenalkan jenama BentukBentuk sebagai produk gaya hidup dan perhiasan rumah berasaskan konkrit, syarikat yang diasaskan oleh duo rakan perniagaan ini berhasrat untuk mengembangkan pasarannya ke luar negara.
Meskipun hanya bermula sebagai sebuah hobi, pengasas bersama, Adesh Zaini berkata, produk yang diperkenalkan dilihat mempunyai potensi perniagaan positif di Malaysia dan mampu memenuhi permintaan di pasaran semasa.
Tambahnya, selepas tiga tahun memulakan operasi sejak tahun 2016, dia menyaksikan pengembangan jenama dan respons menggalakkan daripada pelanggan selain menerima banyak pertanyaan dari luar negara antaranya Indonesia dan Filipina.
“Perancangan tahun ini, kami akan memperluaskan fokus ke pasaran lebih terbuka melalui platform e-dagang yang mengumpulkan produk-produk buatan tangan dari seluruh negara sekali gus BentukBentuk dapat memperluaskan capaian pelanggan tidak hanya di Malaysia.
“Kami berhasrat untuk menjadikan BentukBentuk sebagai sebuah jenama buatan Malaysia yang dikenali di luar negara,” katanya kepada Kosmo! ketika ditemui di kedai jualan produk-produk tempatan iaitu ilaika di Taman Paramount di sini baru-baru ini.
Turut hadir seorang lagi pengasas bersama yang juga merupakan suami Adesh, Shahfiq Manap.
BentukBentuk dengan konsep artisan geometrikal menawarkan produk termasuk faceted sphere pot yang berfungsi sebagai pasu untuk pokok-pokok kecil, pelapik konkrit selain bekas simpanan aksesori seperti cincin serta gelang.
Berkongsi kisah bagaimana jenama berkenaan tercetus, Shahfiq berkata, ia bermula apabila Adesh yang cukup gemar melayari laman web Pinterest melihat item dekorasi rumah.
Dia kemudian tertarik dengan perhiasan kecil yang diperbuat daripada konkrit dan cuba untuk mendapatkan produk itu di Malaysia namun tidak ditawarkan.
Daripada situ, Shahfiq mendapat idea untuk membuat pot tanaman konkrit sendiri sebelum memuat naik gambar hasil buatannya di laman sosial Instagram peribadi. Ia mula mendapat pertanyaan dan permintaan daripada rakan terdekat, membuktikan produk seperti itu mempunyai pasaran di sini.
Adesh dan Shahfiq kemudian melakukan penyelidikan selama lebih enam bulan sebelum jenama BentukBentuk ditubuhkan pada April 2016.
Sehingga kini, BentukBentuk mempunyai sebanyak 23 rekaan selain lapan rekaan baharu yang akan diperkenalkan pada tahun ini. Ia termasuk rekaan konkrit glasier yang diilhamkan ketika mereka bercuti di luar negara.
Tahun ini juga, BentukBentuk merancang untuk mengeluarkan katalog bagi segmen korporat dan door gift selain menyediakan tawaran tempahan peribadi termasuk tulisan pada produk konkritnya menggunakan vinil emas.
Dalam pada itu, menurut Shahfiq, mempunyai seorang rakan kongsi yang juga merupakan pasangan hidup sebenarnya lebih mudah khususnya daripada segi masa yang dapat diluangkan bersama. Malah, dari segi konsep perniagaan sendiri pandangan mereka tidak banyak berbeza, mungkin kerana berkongsi minat yang sama.
“Mungkin ramai beranggapan agak sukar untuk menjalankan perniagaan dengan isteri sendiri tetapi bagi saya tidak, apa yang penting adalah sikap toleransi dan profesionalisme sebagai rakan kongsi. Jika ada sebarang masalah, perlu berbincang dan beri ruang untuk menyelesaikannya.
“Jika menerima teguran mengenai sesebuah produk yang dihasilkan atau ketika kajian dan pembangunan dijalankan, kita perlu terima secara adil kerana ia berkaitan dengan kerja dan jangan memandang perkara itu sebagai tanggapan peribadi,” jelasnya.
Produk BentukBentuk kini boleh didapati di beberapa lokasi sekitar ibu kota seperti Isetan, Lot 10, Naiise Malaysia, Ninth Gallery dan pusat beli-belah Publika. Ia juga dijual di The Warung, George Town, Pulau Pinang.
Pembelian secara online pula boleh dibuat menerusi laman web www.bentukbentuk.com.











