KUALA LUMPUR 3 Mac – Honda Malaysia memperkenalkan edisi terhad istimewa iaitu Jazz Mugen dan BR-V edisi terhad, masing-masing ditawarkan sebanyak 300 buah sahaja bagi memenuhi cita rasa pasaran masa kini.
Jazz Mugen berharga RM88,600 dan RM88,720 sebuah tidak termasuk insurans dengan dua pilihan warna iaitu Modern Steel Metallic dan White Orchid Pearl.
BR-V edisi terhad boleh didapati dalam dua pilihan warna iaitu Passion Red Pearl baharu dan White Orchid Pearl dan berharga RM90,700 dan RM91,000 sebuah tidak termasuk insurans.
Jazz kini dilengkapi dengan kit badan Mugen bagi menyerlahkan gayanya yang sporty. Rekaan luaran tampil lebih segar dengan bampar depan aero baharu, lampu kabus hadapan diod pemancar cahaya (LED), gril hadapan sport dan kemasan pada tailgate.
Kit badan Mugen merupakan ciri tambahan baharu bersama spoiler sisi, belakang dan tailgate bagi meningkatkan wajah Jazz yang lasak. Ciri baharu Mugen berkenaan berdasarkan maklum balas pasaran yang mahukan Jazz lebih menonjol dengan gaya sporty dan praktikal.
Jazz Mugen dikuasakan enjin 1.5L i-VTEC bersama transmisi berubah-ubah berterusan (CVT) yang dibangunkan di bawah teknologi Honda Earth Dreams. Ia menjadi satu-satunya model hatchback yang mempunyai empat mod Ultra konfigurasi tempat duduk yang berbeza bagi memenuhi keperluan ruang letak.
Jazz dilengkapi dengan sistem keselamatan terbaik antaranya enam beg udara, Kawalan Kestabilan Kenderaan (VSA), Bantuan Mula Daki (HSA), sistem brek antikekunci (ABS) dan ISO Fix. Dengan semua ciri berkenaan menjadikan Jazz sesuai untuk semua peringkat umur dan gaya hidup.
BR-V edisi terhad hadir dengan penambahan pada bahagian luaran seperti spoiler tailgate, kemasan pada running board dan pemijak sisi untuk imej yang lebih sporty dan maskulin. Ruang dalam dilengkapi paparan 6.8 inci sistem maklumat dan hiburan dengan sambungan telefon pintar.
Crossover tujuh tempat duduk tersebut dikuasakan enjin 1.5L i-VTEC bersama CVT. Tempat duduk baris kedua dan ketiga boleh dilaraskan, masing-masing dengan nisbah 60:40 dan 50:50. BR-V mempunyai jarak kelegaan tanah yang tinggi untuk memudahkan penumpang keluar masuk.
Sejak dilancarkan pada Januari 2017, sebanyak 29,000 buah BR-V telah terjual.










