Jawatankuasa jenayah siber tangani isu sensitif - Utusan Malaysia

Jawatankuasa jenayah siber tangani isu sensitif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 27 Mac – Jawatankuasa Jenayah Siber telah ditubuhkan membabitkan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengekang penghinaan institusi diraja, agama dan kaum terutamanya menerusi media sosial.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, jawatankuasa itu akan melibatkan kepakaran dan perkongsian maklumat antara pihak yang terlibat bagi membendung penyalahgunaan media sosial.

Katanya, usaha itu penting bagi mengelakkan keharmonian negara ini digugat menerusi tindakan yang tidak bertanggungjawab menerusi laman media sosial.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kementerian saya melalui SKMM dengan kerjasama pihak polis sentiasa komited dan tidak akan berkompromi sama sekali dalam mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang menggugat keselamatan, kestabilan dan keharmonian negara.

“Khususnya terhadap pihak yang menghina institusi diraja, perkauman dan agama,” katanya ketika menjawab Perbahasan Titah Diraja kementeriannya semasa sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.

Sementara itu, Gobind berharap sesiapa sahaja termasuk ahli politik tidak menggunakan kekerasan atau ugutan terhadap pengamal media.

Katanya, para wartawan hanya menjalankan tugas melaporkan perkara yang benar, dan seandainya tidak berpuas hati dengan laporan yang disediakan, mereka boleh menghubungi pihak media atau mengambil tindakan yang dibenarkan oleh undang-undang.

“Wartawan ini menjalankan tugas. Jangan kita ugut atau pukul mereka, ini tidak harus berlaku.

“Saya selaku menteri ingin tegaskan dalam Dewan Rakyat ini bahawa saya memang tidak setuju terhadap tindakan-tindakan yang sedemikian,” katanya.

Kata-kata beliau itu dilihat mendapat sindiran beberapa ahli Dewan Rakyat, namun Gobind meminta mereka yang menyindir itu tidak memandang remeh nasihatnya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini