PULAU PUNANG 27 Mac – Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah atau Jambatan Kedua Pulau Pinang akan ditutup sepenuhnya kepada semua kenderaan selama 10 jam Ahad ini bagi memberi laluan kepada acara Great Eastern Viper Bridge.
Jambatan Kedua Sdn. Bhd. (JKSB) dalam kenyataan di sini memaklumkan, jambatan itu akan ditutup bermula pukul 12.01 tengah malam sehingga 10 pagi pada hari tersebut.
Sehubungan itu, katanya, para pengguna dinasihatkan merancang sepenuhnya perjalanan dan mematuhi setiap arahan dan papan tanda yang disediakan terutama mereka yang menggunakan susur masuk dan keluar dari arah Batu Maung serta Bandar Cassia.
“Jalan akses dari Bandar Cassia ke Plaza Tol Bandar Cassia (Plaza C) akan tetap beroperasi semasa acara dijalankan dan kenderaan menghala susur keluar Lebuhraya Utara-Selatan boleh melalui Plaza Tol tersebut,” demikian menurut kenyataan tersebut.
Dalam pada itu, kenyataan itu memaklumkan, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengab menghubungi ‘hotline’ JKSB di talian 1300-30-2828 atau melalui laman sesawang www.jambatankedua.com.my serta melalui Facebook dan Twitter @jsahmsofficial.- UTUSAN ONLINE











