KUALA LUMPUR 15 Mac – Isteri salah seorang mangsa serangan di masjid di Chrischurch, New Zealand berharap keadaan suaminya, Rahimi Ahmad, 39 berada dalam keadaan selamat selepas dipercayai terkena tembakan.
Memetik laporan portal Nzherald.co.nz, Azila berkata, dia bimbang kerana tidak mengetahui keadaan Rahimi yang keluar menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Noor bersama anak lelakinya berusia 11 tahun.
“Rahimi mempunyai telefon bimbit dan sepatutnya dapat menghubungi saya. Akan tetapi, saya masih tidak tahu apa yang berlaku kepadanya.
“Saya berharap dia (Rahimi) selamat dan berdoa supaya pulang segera,” katanya di sini hari ini.
Azila yang telah menetap di New Zealand kira-kira lima tahun menerima berita kejadian tersebut selepas salah seorang rakan menelefonnya.
“Anak saya berada di luar masjid sedang bermain ketika itu dan salah seorang jemaah sempat menarik tangannya untuk mencari perlindungan di sebuah rumah. Namun, Rahimi yang berada dalam masjid berkenaan dan tidak tahu apa terjadi padanya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE










