IPD Perak Tengah johan Pengurusan Kediaman Terbaik 2018 - Utusan Malaysia

IPD Perak Tengah johan Pengurusan Kediaman Terbaik 2018

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT 26 Mac – Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah muncul johan perumahan polis terbaik seluruh negara apabila merangkul Anugerah Pengurusan Kediaman Terbaik 2018 Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Ketua Polis Daerah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, pengiktirafan itu adalah hasil kerjasama baik dan erat dalam kalangan penghuni sehingga berjaya mewujudkan suasana harmoni di kediaman berkenaan.

Katanya, dalam masa sama, kejayaan itu juga disumbangkan oleh ahli jawatankuasa perumahan tersebut yang sama-sama berganding bahu dalam memastikan kawasan kediaman berkenaan dalam keadaan bersih dan selamat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Perumahan di IPD Perak Tengah ini merupakan satu-satunya kawasan perumahan polis di negara ini yang diliputi kamera litar tertutup (CCTV). Ini merupakan usaha kita dalam memberi persekitaran selamat kepada warga polis di sini.

“Malah hubungan baik dan sikap saling kerjasama yang diterapkan kepada mereka juga telah mewujudkan suasana harmoni kepada penghuni di perumahan berkenaan,” katanya di sini hari ini.

Kemenangan bagi kategori B itu membolehkan IPD Perak Tengah menerima plak kemenangan dan sijil penghargaan yang disampaikan Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada sambutan Hari Peringatan Polis Ke-212 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di Kuala Lumpur, kelmarin.

Menurut Mohamad Zainal, pihaknya turut menerima sokongan penuh dan suntikan semangat daripada Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Hussain yang sentiasa memberi galakan terhadap usaha yang dilakukan.

Katanya, sejak dilantik sebagai Ketua Polis Daerah pada Februari 2017, beliau sudah menanamkan azam pada setiap pegawai dan anggota untuk berjaya dalam setiap pertandingan disertai.

“Kami memang komited untuk juara dan kemenangan ini adalah hasil kerjasama semua, walaupun IPD Perak Tengah bukan IPD yang besar tetapi kami mahu buktikan kami boleh menjadi yang terbaik,” katanya.-UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini