KUALA LUMPUR – Agensi promosi pelaburan, InvestKL optimis untuk menarik 13 buah syarikat multinasional (MNC) untuk beroperasi di Malaysia pada tahun ini meskipun dalam suasana ketidaktentuan ekonomi global.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Zainal Amanshah berkata, syarikat yang disasarkan adalah daripada sektor perkhidmatan dari Amerika Syarikat, Kesatuan Eropah, China, United Kingdom, Jepun dan Korea.
“Tahun lalu, kami telah berjaya menarik penyertaan 12 buah syarikat asing melabur di sini termasuk tujuh syarikat Fortune 500.
“Antaranya Electrolux, MetLife, Orange, Accenture, EY, Persolkelly dan China Pacific Construction Group.
“Ia melibatkan pelaburan berjumlah RM2.3 bilion dan bakal mewujudkan 1,339 pekerjaan baharu,” katanya pada sidang akhbar di pejabat InvestKL di KL Sentral di sini semalam.
Turut hadir Pengerusi InvestKL, Datuk Seri Michael Yam.
Menurut Zainal, sejak ditubuhkan pada 2011, InvestKL yang merupakan agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri telah berjaya menarik 78 syarikat asing dengan sejumlah RM6.6 bilion daripada komitmen pelaburan sebanyak RM11.7 bilion telah direalisasikan.
Ia mewujudkan 11,693 pekerjaan baharu dengan 7,516 jawatan telah pun diisi, 80 peratus daripadanya oleh rakyat tempatan.
Sementara itu, Michael berkata, Malaysia masih merupakan destinasi menarik bagi pelaburan jangka panjang oleh syarikat asing dengan asas dan rekod prestasi yang kukuh, meskipun Bursa Malaysia terus melihat trend aliran keluar dana asing sejak beberapa minggu lalu.
“Pasaran saham semasa hanyalah untuk pelaburan jangka masa pendek, ia bukan indikator kepada ketahanan jangka masa panjang.
“Pertumbuhan pelaburan langsung asing sebanyak 48 peratus yang direkodkan tahun lalu menunjukkan pelabur melihat kepada pelaburan jangka panjang di negara ini, mungkin dalam tempoh 10, 20 tahun atau lebih lama,” katanya.











