TURIN 13 Mac – Cristiano Ronaldo berkata, hatrik yang dilakukan ketika Juventus menundukkan Atletico Madrid 3-0 dalam Liga Juara-Juara hari ini adalah sebab utama gergasi bola sepak Itali itu membelinya.
Ronaldo berjulang empat trofi Eropah dalam tempoh lima musim bersama Real Madrid sebelum menyertai Juventus dengan perpindahan bernilai 112 juta euro (RM516.67 juta).
Bintang Portugal itu hanya menjaringkan satu gol dalam peringkat kumpulan, selain diarah keluar padang ketika menentang Valencia.
Begitupun hari ini, dia menampilkan aksi luar biasa untuk membantu Juventus menundukkan Atletico.
Atletico tiba di Turin dengan memegang kelebihan 2-0 dalam perlawanan pertama, peringkat 16 akhir tetapi aksi memukau Ronaldo membolehkan Juventus mara ke suku akhir secara agregat 3-2.
“Inilah sebab Juventus membeli saya, untuk membantu mereka dalam malam penuh magis seperti ini.
“Atletico pasukan yang sukar tetapi kami juga pasukan yang kuat dan layak ke suku akhir. Masih terlalu awal untuk bercakap tentang aksi final.
“Malam ini sangat istimewa, bukan sekadar gol, pasukan ini luar biasa dan inilah mentaliti yang diperlukan dalam Liga Juara-Juara,” kata Ronaldo.
Ronaldo, 34, kini telah menyingkirkan Atletico buat kali kelima, malah meledak 24 gol dalam 33 penampilan menentang gergasi bola sepak Sepanyol itu.
Dia menanduk gol pembukaan pada minit ke-27 hasil hantaran Federico Bernardeschi, sebelum menyudahkan bola lorongan Joao Cancelo, empat minit selepas babak kedua bersambung.
Pemain Terbaik Dunia lima kali itu melengkapkan hatrik menerusi sepakan penalti pada minit ke-86 selepas Bernardeschi dijatuhkan dalam kawasan penalti. – AGENSI











