LONDON 11 Mac – Ole Gunnar Solskjaer mendedahkan kekalahan kepada Arsenal, adalah pencapaian terburuknya sejak dia mengambil alih Manchester United.
Selepas mencipta kejutan menundukkan Paris Saint-Germain dalam saingan Liga Juara-Juara, Khamis lalu, kelab Old Trafford itu akhirnya ditunjukkan realiti sebenar selepas tumpas di Stadium Emirates, yang merupakan kekalahan pertama Solskjaer dalam aksi Liga Perdana Inggeris sejak mengambil alih United, Disember lalu.
“Setakat ini, semuanya berjalan dengan cukup mengagumkan, tetapi hari ini adalah pencapaian terburuk kerana kami tewas dan mempersiakan peluang meningkatkan tekanan ke atas Spurs. Kami mencatat kejayaan dalam perlawanan yang tidak sepatutnya kami menang dan hari ini pula, kami kalah pada pertemuan yang tidak sepatutnya kami tewas,” kata warga Norway itu.
Selepas ketinggalan hasil jaringan Granit Xhaka, United terlepas beberapa peluang untuk menyamakan kedudukan sebelum Pierre-Emerick Aubameyang melengkapkan kemenangan Gunners menerusi sepakan penalti.
Solskjaer mengkritik pengadil, Jon Moss di atas keputusannya menghadiahkan Arsenal sepakan penalti kontroversi selepas Alexandre Lacazette dijatuhkan oleh Fred
“Saya tidak fikir ia penalti, memang keputusan perlu diputuskan pengadil, tetapi Jon Moss mesti kecewa apabila dia melihat sekali lagi insiden itu. Saya tidak rasa kekasaran yang berlaku melayakkan penalti diberi,” katanya.
Ketika ditanya sama ada Lacazette sengaja merebahkan badannya, bos United itu menambah: “Tidak, saya tak rasa begitu. Kelihatannya Fred sangat kuat.”
Kekalahan tersebut memberi tamparan besar kepada United yang berharap dapat menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik, tetapi Arsenal berjaya merampas kedudukan tersebut yang merupakan slot terakhir kelayakan Liga Juara-Juara.
Hanya empat mata memisahkan antara Chelsea, United, Arsenal dan Tottenham yang menghuni tempat ketiga. Solskjaer berkata, persaingan bagi merebut kedudukan empat terbaik dijangka berlanjutan sehingga hari terakhir, musim ini.– AGENSI











