Industri perlu teliti isu gaji permulaan siswazah - Maszlee - Utusan Malaysia

Industri perlu teliti isu gaji permulaan siswazah – Maszlee

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 30 Mac – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak mempunyai kuasa dalam menentukan gaji permulaan siswazah sebaliknya hanya menyediakan pendidikan yang mampu melahirkan graduan berilmu serta kompetitif bagi pasaran pekerjaan.

Menterinya, Dr. Maszlee Malik berkata, isu gaji permulaan siswazah yang dilaporkan menurun baru-baru ini perlu diteliti oleh industri yang menyediakan peluang pekerjaan.

“Itu kena tanya industri kerana mereka yang menyediakan peluang pekerjaan kerana kami di KPM tidak menjaga soal gaji.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Tetapi yang kami boleh lakukan ialah untuk menyediakan siswa yang berkemahiran tinggi, lebih terlatih, berilmu dan kompetetif untuk pasaran pekerjaan dan pasaran antarabangsa,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2019 (PBAKL 2019) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Khamis lepas, Maszlee dalam satu kenyataan berkata KPM akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dan agensi untuk melihat isu dengan lebih mendalam untuk diselesaikan segera.

Kenyataan itu menyebut beliau mengambil maklum mengenai Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018 yang dikeluarkan semalam serta laporan media mengenai “Gaji Siswazah Semakin Turun”.

Menurut laporan media yang memetik Laporan Tahunan BNM itu, gaji permulaan bulanan benar bagi kebanyakan siswazah baharu di Malaysia menurun sejak 2010 selepas mengambil kira faktor inflasi, di mana siswazah baharu yang berkelulusan diploma mendapat gaji benar RM1,376 pada 2018 berbanding RM1,458 pada 2010.

Terdahulu Maszlee dalam ucapannya berkata penganjuran PBAKL 2019 memperkenalkan seksyen khusus iaitu reruai ‘Ibu Kota Buku Dunia’ yang berpotensi menarik masyarakat untuk menjayakan hasrat menjadikan ibu negara ini sebagai hub keilmuan utama dunia.

“Ia merupakan pengiktirafan oleh Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNESCO) kepada bandar raya yang menunjukkan komitmen tertinggi dalam penganjuran aktiviti, promosi dan pembacaan buku.

Berlangsung dari 29 Mac hingga 7 April, PBAKL 2019 buat julung kalinya memperkenalkan kempen mesra alam sekitar iaitu pengurangan beg plastik selain transaksi tanpa tunai bagi pembelian buku. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini