Industri insurans diunjur stabil - Utusan Malaysia

Industri insurans diunjur stabil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR 14 Mac – RAM Rating Services Berhad (RAM Ratings) mengekalkan prospek stabil terhadap industri insurans di Malaysia pada tahun ini.

RAM Ratings dalam kenyataannya berkata, premium insurans am dijangka kekal tidak berubah memandangkan impak progresif liberalisasi tarif dan pertumbuhan ekonomi negara yang sederhana.

Katanya, begitu juga dengan premium perniagaan insurans hayat yang diunjurkan peningkatan sederhana antara satu hingga dua peratus susulan sentimen pengguna yang lemah dan kebimbangan kos sara hidup yang semakin meningkat.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Premium insurans am meningkat kepada RM17.6 bilion pada 2018 selepas menguncup sederhana pada tahun sebelumnya didorong oleh segmen permotoran serta kemalangan peribadi dan perubatan. Premium kebakaran turut menyaksikan peningkatan dengan pertumbuhan masa hadapan yang terhad berikutan persaingan sengit dalam segmen margin tinggi.

“Kesan yang lebih jelas terhadap kesan liberalisasi tarif insurans motor dan kebakaran dapat dilihat pada tahun ini. Pada masa ini, autonomi harga penanggung insurans masih terhad walaupun pihak berkuasa akan mempertimbangkan kelonggaran bermula 2019,” katanya di sini hari ini.

Menurut firma itu lagi, premium perniagaan baharu insurans hayat berkembang perlahan 1.8 peratus kepada RM10.3 bilion pada tahun lalu didorong oleh peningkatan polisi kumpulan.

Jelasnya, pertumbuhan perniagaan baharu mungkin berhadapan kekangan dalam tempoh beberapa tahun akan datang berikutan industri sedang menyesuaikan diri dengan keperluan pengawal seliaan baharu untuk perniagaan berkaitan pelaburan (IL).

“Garis panduan yang disemak semula memerlukan harga premium yang mampan, ujian kemampanan liputan insurans dan lebih banyak ilustrasi pulangan pelaburan dalam jualan dan pemasaran. Perubahan ini berkemungkinan memberi kesan kepada jualan IL yang telah menyumbang 44 peratus daripada sektor premium perniagaan baharu tahun lepas,” ujarnya.

Demografi negara dan inflasi penjagaan kesihatan negara masih mendapat permintaan untuk perlindungan insurans dalam jangka sederhana. Pelepasan cukai bagi sumbangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan premium insurans hayat serta inisiatif kerajaan seperti skim perlindungan kesihatan kebangsaan mySalam dapat membantu meningkatkan kesedaran. -UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini