Ibu buat tindakan salah percaya anak selamat ditinggalkan bersendirian - Utusan Malaysia

Ibu buat tindakan salah percaya anak selamat ditinggalkan bersendirian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR 5 Mac – Tiada sebarang unsur penderaan fizikal didapati terhadap kanak-kanak berusia tujuh tahun yang dikurung oleh ibunya di sebuah rumah di Taman Hijrah di sini.

Sebaliknya Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mohammad Hazam Ismail berkata, ibu kanak-kanak terbabit melakukan kesilapan dengan percaya dan yakin bahawa anaknya itu selamat apabila ditinggalkan bersendirian ketika wanita itu berurusan di luar.

“Dalam kes ini, kami dapati di peringkat awal ini tiada sebarang unsur-unsur penderaan fizikal terhadap kanak-kanak tersebut. Cuma ibu tersebut mempunyai sedikit kepercayaan yang salah iaitu keluar meninggalkan anak di rumah.

“Ibu tersebut percaya anaknya selamat berada di rumah apabila dia sudah simpan semua benda berbahaya seperti pisau dan mencabut kepala tong gas. Kami akan jalankan sesi kaunseling untuk memurnikan kembali pemikiran seperti ini,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam Utusan Malaysia melaporkan kanak-kanak tersebut terpaksa diselamatkan oleh polis selepas dikurung di rumah sejak Jumaat lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd dilaporkan berkata, pihaknya terpaksa memecahkan pintu rumah berkenaan berikutan pintu jeriji di kediaman tersebut dikunci.

“Kanak-kanak itu kini diletakkan di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya.

Tambah Mohammad Hazam, pada masa ini, kanak-kanak itu masih berada di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini dan pihaknya akan mengambil tanggungjawab menjaganya dalam tempoh tertentu selepas ini.

“Nasihat saya, ibu bapa mesti memainkan peranan utama iaitu mendidik anak dan memberikan perlindungan dan keselamatan kepada anak-anak 24 jam sehari.

“Kita mesti menjalinkan hubungan yang baik sesama ahli keluarga. Jika kita ada masalah bawa berbincang dengan keluarga sama ada adik, kakak, abang dan ibu bapa,” katanya yang memaklumkan kes tersebut adalah pertama kali berlaku sejak bertugas di negeri ini dua tahun lalu.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN