SHAH ALAM 7 Mac – Kelab tae kwan do, Hypermax muncul juara kejohanan Piala Datuk Bandar dengan mengutip 20 pingat emas, enam perak dan sembilan gangsa menewaskan 27 pasukan lain, baru-baru ini.
Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, naib johan dimenangi pasukan SKID dengan mengutip 13 pingat emas, tujuh perak dan lima gangsa.
“Manakala tempat ketiga dimenangi pasukan Adventure dengan kutipan enam pingat emas, satu perak dan lima gangsa.
“Pertandingan ini merupakan penganjuran kali kelima oleh MBSA dan penyertaan adalah terbuka kepada semua persatuan atau kelab tae kwan do dari seluruh negara,” katanya di sini, hari ini.
Johan kejohanan membawa pulang wang tunai RM1,500, naib johan RM1,000 dan tempat ketiga RM500. Ketiga-tiga pasukan itu juga menerima piala iringan.
Shahrin berkata, kejohanan ini adalah sebagai platform mencungkil bakat-bakat baharu di peringkat akar umbi dan secara tidak langsung dapat melahirkan atlet-atlet berkualiti dan berdaya saing.
Katanya lagi, kejohanan tersebut juga merupakan kaedah paling berkesan dalam membentuk disiplin dan jati diri seseorang serta dapat memupuk semangat kesukanan bagi melahirkan individu yang sihat dan berkualiti.
“Melalui program ini juga dapat mempromosi MBSA sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) yang prihatin dan mengambil berat tentang pembangunan sukan bagi golongan remaja di sekitar bandar raya ini dan Lembah Klang,” katanya.
Pertandingan ini dirasmikan oleh Timbalan Datuk Bandar Shah Alam, Mohd. Rashidi Ruslan. – UTUSAN ONLINE











