Hutan dara Sabah seluas 35,000 hektar - Utusan Malaysia

Hutan dara Sabah seluas 35,000 hektar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Rutin David Francis, 32, melakukan rondaan di Kawasan Konservasi Kanyon Imbak, Sabah pada pagi itu sama seperti hari-hari sebelumnya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sambil diiringi bunyian serangga hutan, David selaku renjer bertugas bersama beberapa rakan mencantas rimbunan dahan serta daun-daun kering yang menghalang kawasan pejalan kaki menggunakan parang.

Sehinggalah sampai di suatu persimpangan, David terlihat sekawan gajah sedang berlegar-legar di kawasan itu sambil meragut tumbuhan segar.

“Entah bagaimana, tiba-tiba seekor gajah berpaling dan ternampak kedatangan kami sehingga dirasakan memberi ancaman kepada kawanan terbabit.

“Beberapa kali laungan daripada gajah itu bersahut-sahutan kedengaran sambil ia mengepakkan telinga sebagai tanda ingin menyerang,” katanya menceritakan kembali pengalaman getirnya pada sekitar 2011 di kawasan tersebut ketika ditemui K2 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurutnya, ketika itu, tidak banyak yang boleh dilakukan oleh bapa kepada dua orang anak itu bersama rakannya melainkan berpaling dan mencari kesempatan terbaik melarikan diri.

“Perlahan-lahan kami berundur kira-kira 10 langkah dan kemudian terus berlari bagai lipas kudung sehingga sejauh kira-kira 100 meter.

“Biarpun detik cemas itu masih lagi mekar dalam ingatan, saya tidak sedikit pun menyesal bekerja sebagai renjer sebaliknya merasakan inilah peluang terbaik mendekati keindahan alam semula jadi di salah sebuah hutan simpan ikonik negeri Sabah,” ujarnya yang berasal dari suku kaum Sungai di Sabah.

Kanyon Imbak yang turut dikenali Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (ICCA) terletak kira-kira 350 kilometer dari Kota Kinabalu, Sabah.

Jaraknya kira-kira 55 kilometer dari jalan utama Ranau ke Sandakan.

ICCA adalah kawasan hutan dara kelas pertama yang diletakkan di bawah Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan) oleh kerajaan negeri Sabah dengan keluasan lebih 35,000 hektar.

Kanyon Imbak mempunyai signifikan yang besar bagi negeri Sabah apabila ia merupakan kawasan terbesar hutan dipterokarpa yang masih wujud di negeri itu. Lebih penting, ia merupakan kawasan tadahan hujan bagi sungai terpanjang Sabah, Sungai Kinabatangan dan sistem sungainya.

Kawasan yang kaya dengan tumbuhan gaharu, salah satu spesies dipterokarpa itu turut menjadi tumpuan saintis yang membuat penyelidikan dan kajian mengenai habitat pelbagai flora dan fauna di dalam hutan tersebut.

Malah, pelancong atau pengembara juga berpeluang untuk menyertai saintis melihat dan membuat kerja lapangan apabila sama-sama meneroka jauh ke dalam hutan untuk melakukan kajian.

Kawasan konservasi itu dibangunkan oleh Yayasan Sabah dengan kerjasama Petroliam Nasional Berhad (Petronas) sejak tahun 2009 lagi.

Usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) Petronas itu kini diteruskan oleh Yayasan Petronas yang baru dilancarkan Sabtu lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Kesedaran

Matlamat utama kolaborasi itu untuk mengimplementasi pelbagai program di ICCA berhubung kesedaran awam, pendidikan alam sekitar, aktiviti komuniti, penyelidikan dan infrastruktur lain.

Hasilnya, Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (ICSC) dan Pelan Pengurusan Strategik Kanyon Imbak telah berjaya dibangunkan.

ICSC merupakan kompleks yang mengandungi pejabat pentadbiran, makmal, dewan mesyuarat, dewan makan, asrama dan bilik penginapan yang terletak di pinggir Sungai Imbak.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Petronas, Lita Osman, Petronas sehingga kini telah melabur sebanyak RM83 juta khususnya dalam membangunkan ICSC yang merupakan hab penyelidikan untuk pemuliharaan biodiversiti.

Menyorot sejarah pembinaannya, pada tahun 2013, Petronas telah meluluskan dana sebanyak RM77 juta di bawah fasa dua kolaborasi Yayasan Sabah dan Petronas untuk membina ICSC.

Ia mula dibina pada tahun 2014 dan telah siap sepenuhnya pada November 2016.

“Yayasan Petronas berhasrat menjadikan Kanyon Imbak sebagai pusat pembelajaran dalam pemuliharaan kepelbagaian bio serta tabung genetik serta penerokaan potensi farmaseutikal dan bioteknologi.

“Selain itu, kami mahu menekankan secara spesifik fokus kami terhadap alam sekitar dengan memperkasa kepelbagaian biologi, konservasi termasuk program-program bebas karbon,” ujarnya.

Sepanjang 10 tahun menekankan usaha pemuliharaan Kanyon Imbak, Yayasan Petronas memberi fokus terhadap tiga mekanisme utama iaitu dari sudut pendidikan, pembangunan komuniti dan alam sekitar.

Dalam segmen pendidikan misalnya, Yayasan Petronas memberi sokongan penuh terhadap aspek Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) untuk komuniti setempat.

Hasilnya, sebanyak 3,000 pelajar di sekitar Kanyon Imbak telah mendapat manfaat dengan janaan idea kreatif baharu menerusi projek-projek kecil berkaitan STEM.

Sebagai hab penyelidikan biologi dan alam sekitar, ICSC mampu memuatkan sehingga 50 orang penyelidik dalam satu-satu masa.

Infrastruktur pusat penyelidikan itu yang selesa tidak ubah seperti hotel tiga bintang buat para penyelidik.

Dengan kekayaan flora dan fauna yang dimiliki di Kanyon Imbak, Lita percaya pelbagai penyelidikan baharu berkaitan alam semula jadi boleh diterokai.

Herba

Jelasnya, selain hidupan liar seperti beruang, harimau, payau iaitu sejenis pelanduk, Kanyon Imbak turut kaya dengan herba semula jadi.

Antara tumbuhan yang terdapat di Kanyon Imbak termasuklah dipterokarpa.

Dipterokarpa atau nama saintifiknya, dipterocarpaceae merupakan keluarga daripada 16 genus dan dianggarkan terdapat 695 spesiesnya di hutan tropika seluruh dunia.

Antara pokok dipterokarpa yang popular di Kanyon Imbak adalah gaharu.

Beliau berharap, suatu hari nanti, penemuan penyelidikan berkaitan herba semula jadi yang terdapat dalam hutan simpan itu boleh diangkat bagi melengkapi perubatan moden.

Dalam pada itu, biarpun Kanyon Imbak diklasifikasikan Hutan Simpan Kelas 1 (Perlindungan), masih berlaku insiden pencerobohan hasil hutan oleh individu tidak bertanggungjawab.

Ia didedahkan sendiri oleh renjer Kanyon Imbak, Ronny Mi, 25 yang juga merupakan suku Sungai.

Katanya, disebabkan harga dan permintaan gaharu tinggi di pasaran, pencerobohan kerap berlaku di hutan terbabit.

Ia merupakan kayu yang harum baunya dan lazim diperoleh daripada pokok tengkaras atau nama saintifiknya Aquilaria malaccensis.

Jelasnya, pokok gaharu merupakan sejenis pokok yang hidup subur di hutan tropika dan telah dimanfaatkan oleh masyarakat dunia sejak dahulu lagi.

“Semua bahagian pokok gaharu, daripada batang, kulit, daun, bunga, buah dan rantingnya digunakan untuk menghasilkan produk minyak wangi, ubat-ubatan, teh hijau serta kosmetik.

“Bagaimanapun disebabkan jumlah pokok gaharu di dunia semakin terhad menyebabkan ia sukar didapati hingga terdapat individu dipercayai dari negara jiran sanggup menceroboh kawasan ini untuk mendapatkan gaharu,” ujarnya.

Menurutnya, sekiranya didapati berlaku pencerobohan di kawasan hutan simpan itu, Ronny akan segera memaklumkan pihak berkuasa tempatan agar tindakan segera dapat diambil.

Justeru, Ronny berharap hutan simpan itu wajar diletakkan pada tahap keselamatan tertinggi.

Hal ini kerana, sekiranya aktiviti penerokaan haram berlaku secara berleluasa, ia dikhuatiri menjejaskan ekosistem hutan ikonik negara itu.

“Kanyon Imbak ini ada banyak sungai. Bagi sebatang sungainya sahaja ada kira-kira lima air terjun.

“Air anak-anak sungai ini mengalir ke Sungai Imbak sebelum ke Sungai Kinabatangan yang merupakan sungai kedua terpanjang di Malaysia,” jelasnya.

Kawasan Konservasi Kanyon Imbak di daerah Tongod, Sabah yang memiliki kekayaan alam semula jadi diuruskan oleh Yayasan Sabah dengan kerjasama Petronas demi membangunkan kehidupan sosial yang berkualiti berteraskan sains.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN