Hormatilah rumah ibadah - Utusan Malaysia

Hormatilah rumah ibadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MALAYSIA merupakan sebuah negara unik terdiri daripada pelbagai kaum, etnik dan agama. Perpaduan dan keharmonian sesebuah negara itu pastinya bergantung kepada sejauh mana hubungan sesama penganut-penganut agama berbeza. Hal ini dapat mencerminkan serta menggambarkan keadaan negara itu sama ada dalam keadaan baik ataupun sebaliknya. Oleh itu, besar peranan kita dalam memastikan rakyat di negara ini saling hormat menghormati antara satu sama lain agar perkara-perkara sensitif diambil berat oleh semua.

Memuatkan artikel berkaitan…

Setiap agama termasuk Islam menyuruh penganutnya agar sentiasa menghormati dan tidak berlaku zalim terhadap rumah ibadah setiap agama. Kita dilarang mencemarkan dan mengotorkan rumah ibadah kita kerana ia merupakan tempat untuk kita sembahyang dan melakukan aktiviti-aktiviti berfaedah. Apatah lagi, jika kita melakukan perkara-perkara tersebut ke atas rumah ibadah penganut agama lain, sudah tentu akan tercetus perbalahan dan pertelingkahan. Apa yang jelas, keadaan ini boleh menyebabkan penganut sesuatu agama itu marah atas tindak tanduk yang dilakukan.

Menghormati dan memelihara kesucian agama sangat dituntut oleh setiap agama. Justeru, janganlah kita melakukan sesuatu yang boleh merosakkan hubungan antara sesuatu agama dengan agama lain. Sebagai contoh, menceroboh rumah ibadah, menconteng dinding, meletakkan sesuatu yang dianggap menghina kesucian agama lain dan sebagainya. Firman Allah SWT dalam surah Al-An’am ayat 108 yang bermaksud: “Dan janganlah kamu memaki sembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas tanpa pengetahuan. Demikianlah, Kami memperelokkan bagi setiap umat akan pekerjaan mereka. Kemudian kepada Tuhan merekalah, tempat kembali mereka. Lalu Dia menerangkan kepada mereka apa yang dahulu mereka kerjakan.”

Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk, menjaga perpaduan amatlah penting dan harus diutamakan sebagai langkah untuk terus menjadikannya sebagai negara yang menjamin kemurnian rakyatnya berdasarkan kepada keamanan dan ketenteraman. Perkara ini sangat penting dalam memastikan unsur-unsur perkauman dan keagamaan tidak dijadikan sebagai bahan bualan oleh mana-mana golongan atau individu. Lebih-lebih lagi sekiranya ia melibatkan rumah ibadah yang pastinya tempat suci bagi semua agama. Apatah lagi dalam dunia yang semakin canggih ke hadapan ini, segala maklumat sama ada benar ataupun palsu akan tersebar dengan begitu cepat sekali kepada kita semua termasuk isu agama dan bangsa.

Sekiranya semua rakyat menjaga dan menghormati agama lain, pastinya akan terhasil sebuah masyarakat yang sentiasa aman damai dan tenteram serta terhindar daripada persengketaan yang boleh mencetuskan perkara-perkara negatif. Sudah tentu perkara yang tidak baik ini mahu dijauhkan daripada masyarakat kita dalam memastikan keamanan negara terjamin kelak. Sifat dengki dan bermusuhan juga sangat dibenci oleh agama kerana ia membawa kepada punca perpecahan dan keretakan sesebuah masyarakat. Lebih teruk lagi, dengan sifat dengki dan iri hati ini akan tercetusnya pelbagai kemusnahan lain yang mungkin akan memberi kesan buruk lebih besar. Termasuk juga dalam situasi apabila kita tidak berpuas hati dengan seseorang yang berbeza agama dengan kita, dengan mudahnya kita menghina dan mencemarkan rumah ibadah mereka. Ini adalah sikap orang yang mementingkan diri sendiri tanpa memikirkan kesan yang akan dilalui oleh dirinya mahupun saudara-saudara seagama dengannya yang lain.

Sehubungan itu, bersama-samalah kita semua mendidik diri kita serta sematkan dalam sanubari agar mementingkan sikap menghormati agama lain. Janganlah hanya kerana nila setitik, rosak susu sebelanga yang mana hanya kerana sikap kita yang terlalu mengikut perasaan, orang lain turut menerima kesannya. Sesungguhnya rumah atau tempat ibadah itu merupakan suatu tempat yang suci dan sangat istimewa bagi sesebuah agama. Ini kerana ia merupakan tempat untuk setiap penganutnya mengabdikan serta mendekatkan diri dengan Tuhan mereka. Justeru, hormatilah dan jangan mencemarkan rumah ibadah demi kesejahteraan dan keharmonian negara.

PENULIS ialah Pegawai Hal Ehwal Islam Kanan Unit Hal Ehwal Islam, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Johor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN