KUALA LUMPUR 5 Mac – Pemimpin dan ahli dalam Pakatan Harapan (PH) diminta mematuhi ketetapan yang telah disepakati bersama iaitu menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap ketetapan itu dihormati dan diangkat ke peringkat tertinggi oleh semua ahli.
“Saya nasihat ahli-ahli parti termasuk ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) supaya menghormati semangat PH, pertamanya pendirian Keadilan untuk menyokong Tun Dr. Mahathir seperti mana kita sepakati,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen di Bangunan Parlimen di sini hari ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan ADUN Batu Uban, A. Kumaresan yang menggesa Ahli Parlimen Port Dickson itu segera menjadi Perdana Menteri. – UTUSAN ONLINE










