KUALA LUMPUR – Skuad hoki negara berjaya merakam kemenangan kedua kempen Piala Sultan Azlan Shah selepas menewaskan juara Sukan Asia 2018, Jepun 4-3 di Stadium Hoki Azlan Shah, Ipoh, Perak sebentar tadi.
Penyerang prolifik Malaysia, Faizal Saari terus membuktikan ketajamannya apabila berjaya meledak dua gol bermula minit ketiga dan 25 permainan.
Turut menjaringkan gol buat skuad kendalian Roelant Oltmans itu ialah Nik Mohamad Aiman Nik Rozemi dan Muhammad Razie Abd. Rahim pada minit ketujuh serta 53.
Jepun pula mendapat tiga gol melalui Kazuma Murata pada minit ke-17, Kota Watanabe (m-37) dan Koji Yamasaki (m-54).
Aksi-aksi lain hari ini menyaksikan pasukan ranking kelima dunia, India seri 1-1 dengan Korea Selatan manakala Kanada menang bergaya 4-0 ke atas Poland.
Malaysia akan meneruskan perlawanan ketiga menentang India pada Selasa ini. – K! ONLINE











