Hipokrasi, provokasi dan tindakan samseng - Utusan Malaysia

Hipokrasi, provokasi dan tindakan samseng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERISTIWA serangan berdarah di dua buah masjid di Christchurch, New Zealand minggu lepas menjadi kemuncak setelah beberapa siri keganasan yang pernah berlaku di luar negara sebelum itu. Bukan lagi satu rahsia orang Islam sering dikaitkan dengan serangan melibatkan kebencian dan penindasan.

Sikap tidak berperikemanusiaan malah berbangga dengan ketuanan kulit putih berpunca dari salah faham dan Islamophobia kini semakin menebal dan parah.

Kita bukan mengatakan semua orang kulit putih terpalit membenci Islam dan ia hanya melibatkan mereka yang terpengaruh dengan hasutan Islamophobia yang kini menular ke seluruh dunia.

Memuatkan artikel berkaitan…

Solidariti oleh Perdana Menterinya, Jacinda Ardern dan beberapa pemimpin dunia lain membuktikan masih ramai yang waras di dunia ini.

Tidak seperti Presiden Donald Trump dan Senator Fraser Anning yang cakap lepas, mengarut dan menunjukkan kebodohan tanpa segan silu.

Bagaimanapun tidak ada contoh terbaik yang mampu ditunjukkan orang Islam seperti Farid Ahmad, yang kematian isterinya, Husna dalam insiden pengganas itu.

Ditanya sama ada beliau memaafkan pengganas kulit putih itu, Farid berkata: “Sudah tentu. Apa yang terbaik adalah kemaafan, kemurahan hati, kasih sayang dan keprihatinan, serta sikap positif,”.

Namun itu di Barat, tetapi lain pula di negara ini apabila berlakunya insiden melibatkan pelajar Universiti Malaya (UM) yang dikasari beberapa pihak yang dikaitkan dengan bekas perdana menteri.

Agak mengecewakan bagi saya melihat orang kita bertindak mengasari dan bergaduh ala samseng hanya kerana provokasi remeh yang dilakukan budak hingusan.

Melihat insiden itu saya hanya mampu menggeleng kepala kerana ramai mereka yang berada di situ bertindak merakam kejadian dan kemudian memviralkannya ke media sosial.

Apa dah jadi ni, apakah berbangga gambar mereka di rakam. Tidakkah mereka ini terfikir, inilah yang dimahukan pihak satu lagi yang mereka kata penghasut.

Akibatnya mereka terpaksa menari mengikut rentak pihak satu lagi yang kini bergelak ketawa kerana perangkap sudah mengena.

Memerangkap

Tidakkah mereka terfikir yang tindakan mereka ini memberi kesan. Apatah lagi masih berpakaian lengkap berkopiah baru selesai sembahyang Jumaat.

Tetapi akhirnya menjadi samseng bertindak mengasari pelajar bukan Islam yang terdiri beberapa kerat hanya kerana provokasi murahan.

Apakah mereka tidak boleh membezakan provokasi murahan sebegini hanya dilakukan bagi mengungkit rasa marah dan membolehkan mereka terperangkap dalam agenda yang boleh memerangkap mereka pada masa depan.

Bagi saya sangat menyedihkan dalam keadaan kita sebagai umat Islam sepatutnya menjadi contoh kepada bukan Islam tetapi malangnya budaya samseng masih lagi gagal dibuang oleh segelintir pihak dalam UMNO.

Dalam keadaan mereka sepatutnya menjadi teladan sebagaimana perpaduan Melayu yang dibentuk bersama Pas dirai dan dikongsi bersama seluruh warga Malaysia.

Mereka yang menjadi samseng ini hanya memalukan Islam dan penganutnya di negara ini. Kita faham apa yang dilakukan adalah provokasi kerana apa ke jadahnya membuat himpunan membantah salah laku Datuk Seri Najib Tun Razak dengan hanya melibat satu bangsa sahaja.

Apakah orang Cina sahaja marah dengan isu 1MDB yang menyelubungi beliau dan sekutunya dan kaum-kaum lain hanya memerhati.

Takkanlah sebagai pelajar kaum Melayu, India dan lain-lain yang terbiasa dengan semangat darah muda tidak di ajak menyertai himpunan itu. Jadi terserlahlah hipokrasi di sebalik provokasi kenapa himpunan itu diadakan.

Adalah lebih baik mereka ini disantuni, diberi penerangan atau diajak berbincang kerana mungkin provokasi itu dilakukan kerana mereka tidak cukup kasih sayang.

Sedih melihat sikap anak bangsa kita ini yang sepatunya mencontohi sikap Perdana Menteri New Zealand yang begitu menyantuni seluruh warga Islam di sana sehingga mendapat ugutan bunuh kerana kesantunan itu.

Berhemah

Kalau nak lebih hebat mungkin orang Islam terutama yang terlibat dalam politik perlu mencontohi sifat pemaaf Farid Ahmad, yang begitu sukar dicari pada zaman moden ini.

Hakikatnya UMNO dan Pas kini dalam proses bekerjasama sesama bangsa dan seagama. Jika sekadar bekerjasama tetapi tidak mencontohi dan mengambil semangat perjuangan Islam sebenar mungkin ia tidak memberi kesan bermakna.

Menyantuni bukan sahaja sesama Islam tetapi juga turut melangkaui agama, kaum, usia dan darjat. Kalau orang muda kita perlu kasihi dan wanita dicintai, kenapa perlu bertukar kelaku samseng apabila melibatkan bukan Islam.

Sepatutnya menerusi mereka, dunia akan melihat keindahan Islam dan keindahan perpaduan umat Melayu jika kita menunjukkan contoh baik sesama semua bangsa.

Sayangnya akibat gopoh dan baran, orang yang buruk namanya sampai bila-bila adalah Najib yang kini sudah pun dihurung pelbagai kes mahkamah dan imej negatif.

Banyak yang orang UMNO perlu belajar dengan pihak Pas dalam menangani kelaku samseng dan sifat berhemah sebagai pembangkang.

Maklumlah mereka ini baru pertama kali jadi pembangkang. Mungkin perlakuan samseng ini biasa bagi pihak pembangkang sebelum ini yang kini sudah menjadi kerajaan. Tetapi janganlah ditiru dan bangga dengan perangai sedemikian.

Jadilah pembangkang yang bermaruah dan mencontohi ajaran Islam. Bukan hentam kromo dan berterusan berlagak samseng yang hakikatnya tidak memberi apa-apa makna dalam politik Malaysia.

Kelakuan merosakkan imej Islam sebegini perlu dibuang sama sekali dan tidak salah sesekali tunduk tetapi bukan bermakna mengalah.

Kerana Islam itu sendiri melangkaui semua dan cara hidup sempurna untuk semua penganutnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini