SHAH ALAM 4 Mac – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menzahirkan kekecewaan baginda terhadap perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
Tegas Sultan Sharafuddin, penghinaan tersebut sudah sampai ke tahap mencabar kesabaran umat Islam, selain langsung tidak menghormati Islam selaku agama Persekutuan di negara ini.
Setiausaha Dewan di-Raja Selangor, Hanafisah Jais sehubungan itu menggesa polis serta Jabatan Peguam Negara agar mengambil langkah efektif dan berkesan bagi menangani masalah tersebut.
“Sultan Selangor telah berbincang dengan Ahli Dewan di-Raja Selangor hari ini dan baginda melahirkan kekecewaan di atas perbuatan menghina junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.
“Kejadian penghinaan terhadap Rasulullah serta isu-isu yang mencemar kesucian agama Islam kerap kali berlaku dan sudah sampai ke tahap mencabar kesabaran umat Islam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.










