Hentikan provokasi - Yadim - Utusan Malaysia

Hentikan provokasi – Yadim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA 5 Mac – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyeru seluruh rakyat negara ini supaya menghentikan sebarang bentuk provokasi khususnya yang berkaitan dengan agama di semua platform.

Memuatkan artikel berkaitan…

Yang Dipertuanya, Nik Omar Nik Abdul Aziz berkata, badan dakwah itu menyarankan dialog di antara agama diperbanyakkan bagi memberi kefahaman mengenai agama masing-masing dan seterusnya mencari titik-titik persamaan dalam isu sejagat seperti isu penindasan, pengganas, masalah sosial dan sebagainya.

Menurutnya, dialog dan persefahaman antara satu sama lain merupakan prasyarat untuk membina hubungan yang adil dan saksama antara pelbagai budaya dan peradaban.

“Umat Islam juga perlu mengambil sikap berhati-hati terhadap golongan tertentu yang sentiasa mencari jalan untuk mencetuskan ketidakstabilan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hadi ini.

Nik Omar seterusnya menegaskan, Yadim menyokong penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah agar perbuatan mempersenda keperibadian Nabi Muhammad SAW dan mencemar kesucian Islam dihentikan.

Beliau berkata, sebagai sebuah badan dakwah, Yadim berpendapat titah itu adalah sesuatu yang perlu diberi perhatian dan dihayati oleh semua pihak sama ada umat Islam atau bukan Islam.

“Ini kerana perbuatan tersebut (menghina Rasulullah) boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat. Yadim juga menyambut baik tindakan pantas kerajaan dalam menangani isu penghinaan ke atas baginda Rasululullah apabila dua individu didakwa di mahkamah dalam tempoh kurang sebulan, baru-baru ini.

“Tindakan pantas kerajaan dalam menangani isu ini dengan mendakwa individu yang menghina Rasulullah membuktikan bahawa kerajaan tidak pernah memandang ringan isu berkenaan sebagaimana yang didakwa oleh sesetengah pihak,” katanya.

Dalam pada itu tambah, Nik Omar, pengenalan ‘Gagasan Rahmatan Lil Alamin’ dalam pelaksanaan Islam di negara ini tidak membawa maksud bahawa kerajaan akan berlembut dengan sebarang bentuk perbuatan yang mencemarkan kesucian agama Islam.

Umumnya sudah mengetahui kata beliau, bahawa tunjang kepada formula kejayaan Malaysia adalah semangat persepakatan dan saling memahami peradaban dan kehendak antara pelbagai kelompok etnik.

Meskipun kerajaan hari ini sentiasa bersikap terbuka dan menyokong kebebasan bersuara serta kebebasan media, jelasnya, namun masyarakat dinasihatkan supaya sentiasa peka dan berhati-hati agar tidak menyebarkan fitnah atau berita palsu serta mengambil kesempatan untuk mencetuskan ketidakharmonian antara agama.

“Kedaulatan agama Islam sentiasa diletakkan di tempat yang tertinggi berasaskan kepada kedudukannya sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang seharusnya sentiasa dihormati rakyat negara ini.

Sultan Selangor semalam menzahirkan kekecewaan baginda terhadap perbuatan menghina Nabi Muhammad SAW yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.

Tegas Sultan Sharafuddin, penghinaan tersebut sudah sampai ke tahap mencabar kesabaran umat Islam, selain langsung tidak menghormati Islam selaku agama Persekutuan di negara ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini