JOHOR BAHRU 14 Mac – Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian negeri, Dr. Sahruddin Jamal menyeru semua pihak untuk berhenti menyebarkan berita tidak benar berhubung isu pencemaran toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

Beliau turut menyeru supaya kejadian tersebut tidak terus dipolitikkan dan berharap semua pihak terus berdoa supaya perkara itu dapat ditangani dengan baik.
Menurutnya, kejadian di Pasir Gudang menguji hati semua pihak khususnya Bangsa Johor, malah beliau sendiri memegang tangungjawab lebih besar kerana memegang portfolio Kesihatan dan Alam Sekitar di negeri ini.
Sahruddin turut menegaskan bahawa beliau dan semua pihak terlibat sudah bermesyuarat dan berkerja keras bagi menangani bencana itu sejak minggu lalu.
“Siapa yang suka melihat kejadian begini berlaku? Kita semua tidak mahu. Inilah namanya ujian, ujian untuk menyatukan hati kita dan menguji kita semua.
“Saya menyeru kepada semua agar tidak mempolitikkan lagi isu ini, berhentilah menyebarkan berita-berita yang tidak benar dan teruslah berdoa agar semuanya berjaya diatasi dengan baik.
“Berhentilah menangguk di air yang keruh. Janganlah mengeruhkan lagi keadaan dalam ujian yang kita semua kena hadapi di Pasir Gudang sekarang ini,” katanya menerusi catatan dalam laman Facebook beliau yang dimuat naik malam tadi.
Dalam pada itu, Sahruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong turut mengimbau kejadian banjir besar yang melanda Kelantan pada 2014 yang mana beliau merupakan seorang doktor turut terlibat memberi bantuan bersama-sama rakan lain.
Pada waktu itu, katanya, tidak ada taruhan politik, bantuan dihulurkan tanpa mengira bendera parti dan waktu itu tidak ada Pas, UMNO atau DAP kerana semuanya bersatu atas semangat negara bangsa serta semangat kemanusiaan. – UTUSAN ONLINE











