GOPENG – Penduduk kampung berharap pihak penganjur yang ingin melaksanakan sebarang aktiviti riadah di Gopeng akan memaklumkan kepada komuniti setempat terlebih dahulu agar sebarang kejadian tidak diingini dapat dielakkan.
Seorang penduduk, Johari Lukar, 64, berkata, sekiranya penduduk kampung mendapat makluman awal berkaitan sesuatu program, langkah berjaga-jaga dapat diambil memandangkan mereka lebih arif dengan keadaan dan laluan tersebut.
“Penganjur sepatutnya bekerjasama dengan orang kampung yang lebih mengetahui selok-belok di sini.
“Ia juga bagi mengelakkan kejadian peserta hilang dalam tempoh yang lama seperti kejadian ini,” katanya ketika ditemui di pusat operasi SAR di sini hari ini.
Tambah Johari, pernah berlaku kejadian sama terhadap peserta program lain sebelum ini namun mangsa dapat ditemui pada hari sama dengan kerjasama orang-orang kampung.
Johari yang berpengalaman dalam aktiviti pendakian itu turut serta dalam misi mencari dan menyelamat seorang peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang hilang ketike menyertai perlumbaan itu Sabtu lalu.
Katanya, laluan check point ke-6 hingga ke-10 sepanjang 10 kilometer iaitu lokasi dipercayai mangsa hilang merupakan kawasan kebun kelapa sawit, hutan kecil diikuti tebing Sungai Kampar dan Bukit Batu Putih.
Johari bagaimanapun tidak menolak kehilangan Mohammad Ashraf ada kaitan dengan unsur mistik memandangkan pernah ada cerita berkaitannya yang diceritakan penduduk kampung. – K! ONLINE











