Hanya makan daun ubi, garam untuk hidup - Utusan Malaysia

Hanya makan daun ubi, garam untuk hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG 4 Mac – Terpaksa bertahan hidup hanya dengan memakan daun ubi dan garam selama dua minggu.

Demikian kesengsaraan terpaksa diharungi lapan rakyat Malaysia yang terkandas di Monrovia, Liberia sejak 4 Februari lalu selepas ditipu satu sindiket pekerjaan tempatan.

Bukan itu sahaja, jelas salah seorang daripada kumpulan tersebut, Gawan Anak Masin, 41, bekalan elektrik dan air mereka juga dicatu serta dikenakan bayaran yang agak tinggi.

“Sebelum kami dibantu oleh pihak syarikat Sime Darby, kami terpaksa menjual dua telefon bimbit dengan harga AS$250 (RM1,020) dan jam tangan berharga AS$25 (RM102) kepada penduduk tempatan.

“Dengan duit itulah kami berlapan bertahan membeli barangan asas untuk hidup,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Ketibaan mereka berlapan disambut oleh Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah.

Kejayaan ini merupakan kejayaan kedua kerajaan setelah pembebasan 47 orang rakyat Malaysia dari tahanan di Kemboja baru-baru ini.

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa, Aji Anak Surau, 39, berkata, mereka mungkin mati jika tidak dibantu oleh pihak Sime Darby yang berpangkalan di Liberia.

Mujur katanya, pihak Sime Darby menyalurkan bekalan makanan termasuk beras selain membantu kumpulan itu untuk proses kepulangan mereka ke tanah air.

“Kami makan bubur, tidur tidak menentu dan air pun susah hendak dapat. Beras kami dapat dari Sime Darby. Kalau tidak ada Sime Darby, kami semua akan mati,” katanya.

Selain Gawan dan Aji, kumpulan itu melibatkan Enyang Anak Ato, 66; Untol Anak Luyang, 58; Salim Tahir, 49; Suhaili Gani, 39; Bon Anak Egat, 45 serta Dingai Anak Nyalak, 47.

Kesemua mereka didakwa dijanjikan pendapatan yang lumayan dengan menjalankan pekerjaan dalam sektor pembalakan di negara berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN