Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian.
Itulah pepatah yang sesuai untuk menggambarkan kegigihan gadis kecil molek, Hanie Soraya Taha, 25, yang berjaya bergelar seorang doktor perubatan di usia muda.
Bukan mudah mencapai cita-cita untuk bergelar doktor perubatan. Meneroka ilmu perubatan yang kita sedia maklum, memang sukar. Tanpa kerja keras dan minat yang mendalam, sudah pasti pelajar perubatan terkandas di pertengahan jalan.
Pernah beberapa kali putus asa ketika menghadapi detik-detik mencabar sepanjang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan di Universiti Mansoura, Mesir, Hanie Soraya membuktikan kecekalan dan sokongan keluarga menjadi pendorong untuknya meraih kejayaan.
Menurut si cantik ini, cita-cita untuk menjadi seorang doktor adalah impiannya sejak dari kecil.
Justeru, walaupun sudah bergelar seorang penyanyi, dia akan terus ‘merawat’ masyarakat, lebih-lebih lagi dalam keadaan negara kini masih kekurangan doktor.
“Saya berehat daripada dunia nyanyian selama empat tahun semata-mata ingin memberikan fokus kepada pengajian. Alhamdulillah, sebaik sahaja berjaya menamatkan pengajian, saya kembali menyanyi.
“Tidak dapat dinafikan, saya sudah mula merasa rindu untuk kembali menyanyi dan mencipta lagu baharu. Ini akan saya lakukan sebaik sahaja kembali ke tanah air tidak lama lagi,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada Mega Rona baru-baru ini.
Hanie Soraya yang terkenal dengan lagu rancak dan santai mula melibatkan diri dalam bidang nyanyian sejak berusia 19 tahun dengan single pertama bertajuk Hujung Dunia.
“Saya pernah menghadiri uji bakat Mentor di bawah artis Faizal Tahir sebelum terpilih antara dua yang terbaik untuk menyertai rancangan tersebut.
“Selepas enam bulan, Faizal Tahir melamar saya sebagai artis pertama rakaman di bawah Faithful Music,” katanya.
Mengulas mengenai pengajiannya, Hanie Soraya yang popular dengan lagu Rasa Sayang, berkata, belajar dalam bidang perubatan bukan mudah kerana perlu banyak memahami perkara di dalam badan manusia.
“Kalau tidak cekal, memang mudah putus asa kerana untuk lulus peperiksaan perubatan perlu memberikan pembelajaran yang konsisten untuk menghafal terma-terma perubatan.
“Rahsia saya berjaya untuk menamatkan pengajian adalah ibu saya. Ibu sentiasa mendoakan kejayaan saya, di samping usaha dan kesungguhan untuk berjaya,” katanya.
Bercerita lanjut, Hanie Soraya memberitahu bahawa menangis itu adalah perkara biasa sepanjang pengajian, namun tiada yang mustahil untuk dicapai di dalam dunia ini.
“Saya sememangnya bercita-cita untuk menjadi seorang doktor sejak dari kecil lagi dan disebabkan itulah saya nekad untuk belajar bersungguh-sungguh.
“Dengan kejayaan saya sebagai seorang doktor, diharapkan ia dapat memberi inspirasi kepada golongan muda masa kini untuk tidak berputus asa mengejar cita-cita,” katanya.
Mahu terus aktif menyanyi
Hanie Soraya yang baharu sahaja menggenggam segulung Ijazah Sarjana Muda Perubatan dari Universiti Mansoura, Mesir ingin meneruskan kerjaya sebagai seorang penyanyi sebaik sahaja kembali ke Malaysia nanti.
Menurutnya, meskipun kerjaya seorang doktor sudah memberi jaminan masa depan yang kukuh, namun dia tidak mahu mensia-siakan bakat nyanyian yang dimiliki dengan berkhidmat sebagai seorang doktor sahaja.
“Saya akan tetap teruskan perjalanan dalam bidang nyanyian kerana minat yang mendalam, selain didorong oleh peminat yang sentiasa inginkan Hanie Soraya mengeluarkan lagu baharu.
“Alhamdulillah, sokongan daripada peminat yang tidak pernah putus-putus bertanyakan mengenai lagu baharu yang dihasilkan, itu sedikit sebanyak memberi semangat kepada Hanie untuk kembali menyanyi selepas tamat pengajian,” katanya.
Tambahnya, menerusi penglibatan dalam dunia nyanyian, dia yakin dapat memecahkan streotaip sesetengah masyarakat bahawa menjadi seorang penyanyi tidak memerlukan ilmu pengetahuan.
“Meskipun saya minat dalam dunia nyanyian, tetapi saya juga mahu menyampaikan mesej positif kepada masyarakat bahawa tidak semestinya menjadi penyanyi perlu mengabaikan pelajaran.
“Pelajaran dan minat dalam bidang nyanyian perlu seimbang, barulah kita mampu berjaya di dalam kedua-dua bidang yang sangat diminati,” katanya.
Mengulas lanjut, Hanie Soraya turut memberitahu bahawa dia akan tampil dengan imej matang dari segi nyanyian dan muzik selepas kembali ke tanah air.
“Ketika Hujung Dunia dilancarkan, saya baru berusia 19 tahun dan masih mentah. Selepas enam tahun, saya perlu cari pembaharuan yang memperlihatkan kematangan dalam setiap aspek.
“Mungkin lirik dan susunan muzik untuk lagu akan datang lebih matang serta mampu mencerminkan usia sebenar,” katanya.
Mesej baik menerusi muzik
Bidang nyanyian sememangnya sudah sebati dalam diri gadis ini berikutan bakat yang dianugerah kepada dirinya tidak dapat dinafikan lagi.
Mana tidaknya, suara lunak milik gadis ini mampu menarik perhatian sesiapa sahaja yang mendengar lagu yang disampaikannya.
Justeru itu, Hanie Soraya yang bakal menjadi doktor pelatih tidak lama lagi ingin memasukkan elemen baik untuk memberikan motivasi kepada orang ramai.
“Saya yakin muzik mampu mempengaruhi masyarakat dengan pelbagai mesej yang positif untuk kebaikan mereka.
“Misalnya, lagu Pantas yang dikeluarkan pada 2016 turut mempunyai elemen mesej positif iaitu menggalakkan anak muda untuk tidak mudah berputus asa dalam mengejar cita-cita,” katanya.
Tambahnya, dia akan tetap memberi fokus dalam kedua-dua bidang yang diminati iaitu nyanyian dan perubatan supaya dapat berbakti kepada masyarakat dengan bakat yang dimiliki.
“Saya tidak mahu mensia-siakan bakat yang dimiliki, saya mahu menjadi seorang doktor yang sentiasa mengutamakan pesakit, di samping penyanyi yang menjadi inspirasi kepada anak muda,” katanya











