TELUK INTAN – Seorang guru bakal berhadapan dengan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang pelajar perempuan dua tahun lalu.
Tertuduh, Ahmad Murad Zainal, 30, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd. Ardani.
Mengikut pertuduhan, Ahmad Murad didakwa merogol pelajar yang berusia 14 tahun ketika itu di sebuah rumah di Taman Mewah, Hutan Melintan dekat sini antara awal Oktober hingga hujung November 2018.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Azimah Che Ismail manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Nur Azimah memohon agar tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin memandangkan kesalahan berat yang dilakukannya.
Norita kemudian membenarkan tertuduh tidak diikat jamin dan mahkamah menetapkan 22 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes. – K! ONLINE










