Guan Eng wajar didakwa bawah Akta Hasutan - Utusan Malaysia

Guan Eng wajar didakwa bawah Akta Hasutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH 7 Mac – Menteri Kewangan, Lim Guan Eng wajar didakwa di bawah Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan yang menyifatkan kerjasama UMNO dan Pas sebagai satu ‘pengisytiharan perang’ ke atas masyarakat bukan Melayu.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, kenyataan itu merupakan satu hasutan dan amat tidak bertanggungjawab.

Menurutnya, sehubungan itu Guan Eng wajar didakwa tanpa mengira kedudukannya dalam kerajaan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kenyataan Guan Eng menonjolkan lagi sikap rasis DAP yang melampaui batas.

“Bukan sekadar rasis, malah kenyataan ini merupakan satu hasutan yang boleh meranapkan sama sekali keharmonian sebuah negara majmuk seperti Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Mohd. Khusairi, walaupun Setiausaha Agung DAP itu membuat pembetulan kononnya mahu melembutkan sedikit kenyataan awal, tapi niatnya tetap sama.

Kata beliau, Guan Eng mahu melagakan rakyat berbilang kaum di negara ini, khususnya antara orang Melayu dan bukan Melayu.

“Sikap sebegini amat tidak bertanggungjawab dan merupakan satu hasutan yang amat dahsyat.

“Tidak disebut sama sekali oleh pemimpin UMNO ataupun Pas bahawa penyatuan ummah antara dua parti Melayu terbesar itu mahu mengancam, apatah lagi mahu mengisytiharkan perang ataupun menyasarkan orang bukan Melayu,” katanya.

Mohd. Khusairi mempersoalkan apakah menjadi satu kesalahan untuk orang Melayu bersatu demi perpaduan ummah dan apakah Guan Eng mahu hanya orang Cina bersatu di bawah DAP seperti yang telahpun dicapai.

“Apakah beliau mahu supaya orang Melayu selamanya berpecah-belah, berbalah dan bercakaran antara pelbagai parti?,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini