KUALA LUMPUR 7 Mac – Kenyataan Lim Guan Eng yang menyifatkan kerjasama UMNO-Pas sebagai `perisytiharan perang’ terhadap bukan Melayu membuktikan Menteri Kewangan itu dihantui bayang-bayang sendiri, sekali gus sebenarnya beliau tidak sesuai sebagai seorang pemimpin kerajaan.
Ketua Penerangan UMNO, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah berkata, ia jelas suatu
kenyataan tidak bertanggungjawab dan boleh mewujudkan suasana tidak baik antara kaum di negara ini.
“Walau kenyataannya diubah suai, ia tetap tidak mengubah sikapnya. Ternyata kenyataan Guan Eng boleh mengapi-apikan pergaduhan kaum dan sangat tidak baik pada masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Sebagai menteri kanan, Guan Eng sepatutnya berfikiran terbuka, positif dan bukan bertindak kiasu, malahan kenyataan beliau adalah bukti jelas beliau seorang cauvinis dan suka membuat kenyataan berbau hasutan,” kata beliau dalam kenyataan di sini hari ini.
Shamsul Nasarah berkata, sebenarnya tidak sekalipun kepimpinan UMNO-Pas menyatakan kerjasama berkenaan bertujuan mengancam kaum lain atau bersifat perkauman.
“Ini kerana telah jelas diterangkan bahawa kerjasama UMNO-Pas untuk perpaduan ummah tanpa mengetepikan kaum-kaum lain.
“Malah pendirian politik UMNO-Pas begini tidak salah dalam amalan demokrasi serta perlembagaan di negara ini. Kerjasama UMNO-Pas dengan jelas dinyatakan akan menjaga serta menghormati agama dan kaum lain.
“Sebaliknya hanya Guan Eng yang mencipta fiksyen, sinetron dan sandiwara beliau sendiri,” katanya.
Kata beliau lagi:
“Ini jelas menunjukan Guan Eng seorang yang berfikiran dangkal. Justeru, kita ingin bertanya, siapa yang rasis dan anti-Islam sebenarnya? Bukankah Guan Eng, tanpa secara sedar, telah menunjukkan wajah sebenar beliau dan DAP?
“Kita minta Guan Eng hentikan episod wayang yang beliau mainkan. Rakyat mahu jawapan segera apa tindakan Kerajaan Pakatan Harapan menyelesaikan isu kemelut ekonomi negara dan kos sara hidup, bukan kenyataan wayang yang tujuannya sekadar mahu mengalihkan isu. Apa yang jelas Guan Eng masih gagal mengendalikan ekonomi negara dengan baik.”
-UTUSAN ONLINE











