CHISINAU 23 Mac – Antoine Griezmann meledak satu gol dan mencipta satu gerakan jaringan untuk membantu juara dunia, Perancis menewaskan Moldova 4-1 di Chisinau dalam aksi pembukaan kelayakan Euro 2020, hari ini.
Penyerang Atletico Madrid membuka jaringan pada minit ke-24 dalam saingan Kumpulan H, sebelum membuat hantaran jauh untuk Raphael Varane menggandakan jaringan, tiga minit berselang.
Olivier Giroud menyamai rekod penjaring ketiga terbanyak sepanjang zaman skuad Les Blues, David Trezeguet dengan gol antarabangsa ke-34, sembilan minit sebelum waktu rehat.
Kylian Mbappe kemudian melengkapkan kemenangan ketika saingan berbaki tiga minit, sebelum Vladimir Ambros menjaringkan gol saguhati untuk Moldova pada penghujung perlawanan.
“Kami bermain dengan sangat baik di babak pertama, mampu mengawal permainan dan menguruskan bahagian serangan secara sistematik. Pada separuh masa kedua, rentak kami agak perlahan selepas terdapat pertukaran pemain.
“Kami membuka tirai kempen kelayakan dengan baik dan perlawanan kedua tidak lama lagi. Dalam tempoh tiga hari, kami perlu mengharunginya,” ujar,” Deschamps menjelang pertembungan menentang Iceland Isnin ini.- AFP











