MELAKA 5 Mac – Polis menumpaskan kumpulan penjenayah pecah rumah dikenali sebagai Geng Arab Batu Hampar yang aktif melakukan jenayah tersebut sejak tahun lalu selepas menahan enam ahli kumpulan itu baru-baru ini.
Kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 36 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dan pegawai Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dalam serbuan berasingan.
Menurut Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad, kejayaan itu susulan tangkapan yang dilakukan ke atas ketua kumpulan tersebut yang digelar Arab kira-kira pukul 11 malam di Bukit Baru di sini pada 15 Februari lalu.
Katanya, hasil tangkapan dalang kes itu yang berusia 26 tahun, pihaknya berjaya mengesan dan menahan lima lagi ahli kumpulan itu dalam serbuan berasingan.
“Susulan kejayaan itu, polis berjaya menyelesaikan tujuh kes samun dan pecah rumah di sekitar Melaka Tengah serta beberapa kes curi motosikal.
“Risikan dibuat selama kira-kira dua bulan untuk mengesan ketua kumpulan seterusnya memburu saki baki ahli kumpulan sehingga mereka berjaya ditahan,” katanya dalam sidang akhbar di IPD Melaka Tengah di sini hari ini.
Menurut Afzanizar, pihaknya turut merampas tiga buah motosikal, sebuah Perodua Kancil, tiga unit televisyen, enam komputer riba jenama Apple, tujuh jam tangan Casio G-shock dan dua buah beg tangan Guess bernilai keseluruhan kira-kira RM80,000.
Sementara itu, beliau berkata, pasukan khas itu juga berjaya menumpaskan Geng Sugu yang aktif melakukan jenayah pecah kilang sejak awal tahun ini dengan penahanan ketua geng berkenaan berusia 39 tahun.
“Ketua kumpulan ini dan seorang ahlinya berjaya ditahan pada pukul 7 malam 22 Februari lalu di Durian Tunggal. Susulan itu kita menangkap seorang lagi suspek lelaki dan merampas barang-barang yang dipercayai mempunyai kaitan bernilai RM15,000,” katanya.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 457/379A dan 411 Kanun Keseksaan. – UTUSAN ONLINE











