JOHOR BAHRU 5 Mac – Orang ramai digalakkan terus menderma darah di mana-mana hospital di negeri ini bagi memastikan bekalan tabung darah sentiasa mencukupi.
Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Selahuddeen Abd Aziz berkata, setakat ini bekalan mencukupi tetapi pihaknya harus memandangnya sebagai keperluan yang bukan sentiasa sama.
“Ada masanya, keperluan meninggi dan ada masanya keperluan rendah tapi kita sebagai tabung darah harus memastikan keperluan ini sentiasa dipenuhi.
“Di negeri ini, kita tidak berdepan masalah kekurangan bekalan darah tetapi kita amat mengalu-alukan orang ramai untuk terus menderma darah dari semasa ke semasa,” katanya.
Beliau ditemui pemberita dalam Program Derma Darah sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan Peringkat Negeri Johor di Poliklinik Pakar Hospital Sultanah Aminah, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE










